Kes ibu tikam bayi baru dilahirkan, polis cari Mohammad Hazuarie

Kes ibu tikam bayi baru dilahirkan, polis cari Mohammad Hazuarie

 

Baru-baru ini, media sosial kecoh mengenai kes pembunuhan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dipercayai ditikam ibu kandungnya berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kemaman, Terengganu.

Susulan daripada itu, pihak polis kini meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki berusia 20 tahun untuk membantu siasatan kes memperkosa seorang remaja serta bayi ditikam ibu itu.

Menerusi laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki dikenali sebagai Mohammad Hazuarie Hassan itu dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan bayi tersebut.

Kita minta individu ini tampil menyerah diri bagi membantu siasatan di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Kita juga mengalu-alukan bantuan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui di mana lelaki itu berada,” katanya.

Difahamkan, Mohammad Hazuarie gagal menyerah diri meskipun diminta berbuat demikian selain tidak dapat dikesan oleh pihak polis di rumahnya di Bandar Seri Bandi, Chukai.

“Kita percaya dia telah melarikan diri ke bahagian utara Terengganu dan polis akan berusaha mengesannya,” ujarnya.

Bagi mereka yang mengenali dan mengetahui maklumat berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin ditalian 012-6380342 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Memetik laporan Utusan Online sebelum ini, remaja perempuan terbabit sudah direman tujuh hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.