Kes bunuh kerana curi pembesar suara, tiga lelaki direman 7 hari

Kes bunuh kerana curi pembesar suara, tiga lelaki direman 7 hari

 

Polis mendapat kebenaran reman tujuh hari bermula hari ini ke atas tiga lelaki termasuk dua beranak bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di pasar pagi Flat Ashby di sini semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd. Darus mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Reman terhadap suspek berusia 60 dan anak lelakinya berusia 34 tahun dan seorang lagi berusia 47 tahun itu akan berakhir Khamis depan.

Kesemua suspek yang ditahan semalam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh dengan menaiki van dan diiringi anggota polis pada pukul 10.47 pagi.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi semalam, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka sehingga berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergelutan.

Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental itu meninggal dunia di tempat kejadian dengan sebilah pisau lipat dijumpai di lokasi sama.