Kerja pembaikan Jalan Chikus yang runtuh dijangka siap dalam tempoh tiga bulan

Kerja pembaikan Jalan Chikus yang runtuh dijangka siap dalam tempoh tiga bulan

Kerja-kerja pembaikan Jalan Chikus yang menghubungkan pekan kecil Chikus dan Jalan Attaduri ke Teluk Intan yang sebahagiannya runtuh tengah malam Isnin lepas dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata sepanjang tempoh itu, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif termasuk Jalan Teluk Dalam-Teluk Gedung dan Jalan Changkat Jong-Kampar.

“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan Jalan Sungai Lampam-Sungai Tunku, Jalan Sungai Manik Labu Kubong Chenderong Balai dan Jalan Attaduri,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas perkembangan lain, Mohd Zolkafly berkata kerajaan negeri bersetuju agar semua aktiviti di pusat rekreasi dan riadah di kawasan tinggi dan pedalaman tidak dibenarkan buat sementara waktu susulan beberapa kejadian tanah runtuh termasuk di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik yang dilaporkan awal pagi tadi.

Sementara itu, mengenai isu jalan Kampung Redang Sawa di Kampar ke Kampung Pisang di Batu Gajah yang didakwa berpasir dan tidak berturap, Zolkafly berkata projek tersebut merupakan projek kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

“Bagaimanapun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan persekutuan pada masa itu menangguhkan projek berkenaan. Pada 8 Dis lepas, projek itu diluluskan untuk disambung semula oleh kerajaan persekutuan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata JKR Perak akan memulakan urusan tender pada Mac depan dan projek bernilai RM80 tersebut dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan.

Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1919129#.X_VyYoJ8yFE.facebook