Kerja baik pulih Jalan Ampang-Jelapang ambil masa 3 bulan

Laluan Persekutuan FT 239 Jalan Ampang-Jelapang atau susur keluar Jalan Kuala Kangsar ke Meru yang ditutup satu lorong ekoran mendapan tanah, akan diperbaiki dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kerja-kerja baik pulih itu dijalankan setelah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menerima peruntukan sebanyak RM624 ribu bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan kekal di lokasi mendapan tersebut.
Katanya, kerja-kerja awalan seperti ‘site clearing‘, menebang pokok, persiapan akses jalan masuk dan pembinaan platform kerja telah dijalankan di bawah permukaan jalan bagi tujuan pembaikan lubang benam (sinkhole) dengan kedalaman tujuh meter.
“Pihak JKR Perak juga telah berbincang dan membuat perancangan bersama konsultan dan kontraktor pakar untuk pelaksanaan kerja dan jentera yang dijadualkan bermula minggu hadapan.
“Anggaran tempoh masa maksimum yang diberikan untuk kerja-kerja pembaikan jalan tersebut adalah tiga bulan,” katanya ketika ditemui di lokasi mendapan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zolkafly, kerja-kerja teknikal perlu dilaksanakan dengan berhati-hati terutama membabitkan pembetung di laluan sepanjang 20 meter itu untuk keselamatan pengguna jalan raya.
“Mendapan ini disebabkan berlaku kebocoran pembetung yang mengakibatkan takungan air di bahagian bawah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebarang kelewatan pembaikan bagi laluan itu akan terus menyebabkan pengguna jalan raya berdepan kesesakan luar biasa terutama ketika waktu puncak dan hujung minggu.
“Memandangkan laluan tersebut merupakan jalan Persekutuan, maka kerajaan negeri telah menyatakan pendirian tegas kepada Kementerian Kerja Raya bahawa tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan permasalahan tersebut,” katanya.
Menerusi laporan media pada 14 Disember lalu, kerja baik pulih lapisan permukaan jalan laluan berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan penemuan mendapan tanah sebesar 10 meter.
Mendapan tanah dengan panjang 10 meter dan lebar 1.5 meter di bahu jalan Seksyen 4.73 itu disedari pihak syarikat konsesi pada 19 Oktober lepas.