Kereta terjunam ke tasik, dua beranak maut
Hanya dua mayat ditemui di dalam kereta Proton Persona yang terjunam ke dalam Tasik Lake Resort Serdang, malam tadi.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Bandar Baharu, Mohd Hafiz Suhaimi, selepas kereta berjaya dinaikkan ke tebing tasik, pihaknya hanya menemui dua mangsa di dalam kenderaan terbabit bukannya tiga seperti yang maklumat yang diterima sebelum itu.
Beliau berkata, hasil selaman yang dilakukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mendapati hanya dua mangsa ditemui terperangkap dalam kereta berkenaan.
“Setelah ketibaan PPDA, kita membuat selaman dan menjumpai dua mangsa iaitu seorang wanita dewasa dan seorang wanita warga emas.
“Setelah perbincangan dengan polis dan bukti-bukti daripada mangsa yang saksi yang melihat kejadian, memang didapati hanya ada dua mangsa yang terlibat dalam kenderaan tersebut dan kita berjaya keluarkan pada jam 8.59 malam.
“Jarak dari tebing kenderaan terjunam lebih kurang 10 meter, manakala kedalaman lebih kurang 5 meter,” kata Mohd Hafiz.
Identiti kedua-dua mangsa disahkan sebagai Nor Aiza Hashim, 28, dan ibunya, Hasmah Mat Isa, 68.
Kedua-dua mangsa ditemukan di tempat duduk bahagian belakang dipercayai terperangkap selepas pintu gagal dibuka dari dalam.
Mohd Hafiz memaklumkan ketika kejadian Nor Aiza berada di luar kenderaan. Bagaimanapun, secara tiba-tiba kenderaan yang dipakir itu meluncur lalu masuk ke dalam tasik.
Nor Aiza terjun ke dalam tasik cuba menyelamatkan ibunya yang berada di dalam kereta, namun dia juga terperangkap.
Ketika itu empat orang awam cuba membantu menyelamatkan dua beranak berkenaan, namun gagal.
Mohd Hafiz berkata, kereta Proton Persona itu berjaya dinaikkan pada jam 11.02 malam dan mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – AA