Kereta rempuh kedai makan, tukang masak maut

Kereta rempuh kedai makan, tukang masak maut

Seorang tukang masak maut selepas sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) merempuh kedai makan di Jalan Batu Sinar, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa, seorang wanita, Wong Kwai Yung, 59, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Menurut beliau, dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, seorang lagi tukang masak, Sek Loow See, 50, mengalami kecederaan ringan di bahu dan kaki.

Katanya, siasatan mendapati pemandu kereta Proton Saga dengan seorang penumpang yang sedang memasuki ke kotak parkir di hadapan kedai makan untuk membeli makanan telah terpijak pedal minyak menyebabkan kenderaan itu terlajak.

“Kereta yang dipandunya bergerak ke hadapan dan merempuh dua mangsa yang sedang memasak di gerai di kaki lima hadapan kedai,” kata Hasron Nazri dalam kenyataan hari ini.

Hasron Nazri berkata, mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Kampar manakala proses bedah siasat mayat seorang lagi mangsa akan dilakukan petang ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AA

COMMENTS