“Kereta mewah boleh beli, bayar ribu-ribu sebulan, ayam RM15 pun bertekak, dah la bayar tak cukup”

“Kereta mewah boleh beli, bayar ribu-ribu sebulan, ayam RM15 pun bertekak, dah la bayar tak cukup”

 

KENAIKAN harga barang pastinya memberi kesan kepada sesiapa sahaja terutama golongan berpendapatan rendah.

Memahami situasi semasa, sesetengah peniaga tampil menawarkan harga ‘rahmah’ kepada golongan tersebut.

Perkara sama dilakukan peniaga ayam dari Kota Bharu, Kelantan ini, demi membantu mereka yang memerlukan mendapat bahan mentah dengan harga berpatutan.

Bagaimanapun, sikap baiknya itu menjadi sasaran individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan.

Berkongsi cerita, dia yang turut mempromosikan jualan menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp meluahkan rasa terkejut apabila terdapat pelanggan yang datang mengambil ayam tanpa membuat bayaran terlebih dahulu.

Menurutnya, pelanggan tersebut mendakwa sudah membuat pesanan menggunakan aplikasi WhatsApp dan menjelaskan bayaran penuh.

“Ada juga jenis orang kaya haji bakhil naik kereta mewah datang kedai aku. Aku jual RM15 sahaja.

“Kau datang kata dah bayar, kemudian tengking-tengking aku kata dah bayar. Aku cek history WhatsApp satu sen pun kau tak bayar lagi… tempah sahaja tapi tiada pembayaran dibuat,” ujarnya menerusi hantaran Facebook.

Tambah peniaga itu lagi, sudahlah tidak jujur tentang bayaran, pelanggan bertaraf T20 itu juga cuba meminta diskaun meskipun harga ayam hanyalah RM15 seekor apabila mendapati tiada bukti pembelian mahupun transaksi dihantar selepas pesanan dibuat.

“Lepas kau tengok history WhatsApp, kau minta kurang pula… harga RM15 tu. Gila main dengan haji bakhil ni,” luahnya geram.

Enggan berlarutan berurusan dengan individu tersebut, dia kemudian menerima sahaja bayaran RM14 daripada pelanggan terbabit.

“Akhir sekali aku malas nak serabut dengan kebakhilan kau, aku terima sajalah RM14 kau bagi tu.

“Kereta mewah boleh beli, bayar ribu-ribu sebulan, ayam RM15 pun bertekak dulu nak bayar. Dah la bayar tak cukup.

“Tak pernah aku jumpa manusia segila ini guys. Datang kedai orang nak free,” luahnya lagi.

Antara reaksi warga maya di ruangan komen

Hantaran yang dibuat pemuda ini mendapat perhatian warga maya dengan kebanyakannya meninggalkan pelbagai reaksi termasuk pengalaman berhadapan dengan ‘haji bakhil’.

Tidak kurang juga yang menyatakan ia adalah ‘modus operandi’ golongan kaya bagi mengekalkan status dan harta.

“Ramai orang berduit perangai macam tu… saya ada cafe yang jual makanan panas dan lauk pelbagai jenis, sepinggan nasi, sayur, lauk ayam atau ikan RM10 dikata mahal. Nak semurah yang boleh tanpa memikir modal, penat lelah yang perlu dikeluarkan peniaga.

“Biasa bang yang nampak kaya selalunya minta diskaun ni, kecuali betul-betul kaya dan pemurah… buat malu je jadi kaya, banyak rakyat biasa yang bekerja sendiri jenis tak berkira dan pemurah.

“Itulah beza T20 dengan B40 bang. B40 gaji kecil pun siap keep the change kalau ada duit baki. Saya kecil-kecil dulu pergi raya rumah orang kaya bagi 50 sen tapi rumah kampung RM1,” ujar beberapa warga maya.