“Kerana RM20 ini saya marah isteri, teringin itu untuk orang kaya, kita orang miskin, teringin kita tak laku”

“Kerana RM20 ini saya marah isteri, teringin itu untuk orang kaya, kita orang miskin, teringin kita tak laku”

 

Sampai sekarang saya rasa berdosa dengan puan isteri kerana RM20 ini.

13 Tahun yang lepas kami sekeluarga diuji dengan ujian kewangan yang luar biasa. Kereta ditarik, rumah sewa tak mampu bayar dan tak ada pekerjaan tetap.

Salah saya sebab saya berhenti kerja nak berniaga. Bila berniaga tak jadi waktu itu, anak dan isterilah jadi mangsa.

Sampai satu tahap, saya terpaksa lepaskan isteri untuk pulang ke kampung bersama ibu dan bapa beliau si Sarawak buat sementara waktu. Ketika itu isteri sedang sarat mengandungkan anak ke-2.

Di kampung tak ada kenderaan selain bas. Air pula waktu itu bergantung sepenuhnya kepada air sungai belakang rumah.

Puan isteri dengan perut besarnya terpaksa turun ke sungai melalui tangga yang tinggi dan licin untuk menguruskan kehidupan harian.

Nak dijadikan cerita, puan isteri minta duit belanja makan untuk beliau dan anak. Saya waktu itu cuma ada RM80 sahaja di dalam akaun.

Saya hantarkan kepada beliau RM60 dan bakinya saya gunakan untuk makan saya di semenanjung.

Isteri saya call dan sangat gembira sebab ada RM60 untuk belanja, beliau minta izin naik bas ke bandar untuk beli lauk. Dengar gembira betul kerana sudah hampir 6 hari putus bekalan lauk di rumah.

Selepas pulang, beliau hubungi saya semula dan ceritakan kepada saya pengalaman beliau di pasar.

Beliau cerita beliau beli sedikit itu dan sedikit ini jadi RM60 itu habis. Saya waktu itu curiga kerana barang yang dibeli sangat sedikit, kenapa RM60 habis.

Bila saya tanya beliau, barulah beliau cerita beliau beli ayamas drummet yang sepeket hampir RM20.

Terus saya marah beliau kerana saya rasa membazir. RM20 boleh beli 2 ekor ayam dan boleh dimakan lebih 1 minggu berbanding drummet itu. Beliau minta maaf. Beliau kata beliau teringin sangat nak makan.

Terus saya balas, teringin itu untuk orang kaya, kita orang miskin, teringin kita tak laku.

Beliau mula menangis dan minta maaf banyak kali. Saya masih juga marah. Marah kerana saya sudah tidak ada duit lagi mahu beri kepada beliau. Marah sebab waktu itu saya suami yang tidak berguna.

Saya letak talifon dalam keadaan marah dan beliau sedang menangis.

Malam itu saya tidak boleh tidor. Rasa betul-betul berdosa. Saya hubungi beliau dan saya minta maaf kepada beliau. Kami berdua menangis bersama di dalam talifon.

Ya Allah, sampai sekarang saya rasa berdosa. Kerana RM20 ini saya marah isteri saya yang banyak berkorban harta dan nyawa untuk bersama saya.

Semoga Allah masukkan isteri saya ke dalam syurga kerana selalu bersyabar dengan karenah suaminya.

Kepada tuan dan puan yang mungkin sedang dalam situasi yang sama seperti saya suatu ketika dahulu, saya doakan tuan dan puan dapat keluar secepat mungkin dari keadaan itu. Kita berdoa dan berusaha. Allah jua yang membantu kita.