Kerana portable speaker, lelaki maut dicekik

Kerana portable speaker, lelaki maut dicekik

 

Seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam pergaduhan di hadapan warung pasar pagi di Flat Ashby Road, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita kira-kira jam 9.50 pagi mengatakan terdapat pergaduhan di pasar itu sebelum anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan temubual saksi yang juga pemilik gerai di tempat kejadian memaklumkan datang satu lelaki menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari kira-kira jam 7 pagi bertanyakan mangsa.

“Kira-kira jam 9 pagi mangsa tiba seorang diri dengan berjalan dan duduk di kerusi di bawah khemah depan kedai sebelum memesan minuman.

“Setengah jam kemudian datang satu lagi lelaki (berjumpa mangsa). Lelaki itu kemudian beredar namun datang semula dengan bapa saudaranya untuk berjumpa mangsa.

“Kemudiannya berlaku pertengkaran (mangsa dan suspek) sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Kedua-dua suspek berjaya memegang mangsa,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, tidak lama kemudiannya datang seorang lagi lelaki yang juga bapa kepada salah satu suspek di situ yang turut memegang mangsa.

“Suspek itu (baru tiba) memeluk leher (mangsa) dari belakang sementara anaknya duduk atas belakang badan mangsa yang berada dalam keadaan meniarap.

“Suspek memaut leher mangsa hampir 15 minit sehingga lemah. Tidak lama kemudian, kawan mangsa datang dan suspek melepaskannya (mangsa) namun ketika itu dia sudah tidak bergerak,” katanya.

Katanya, susulan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 60, 47 dan 34 tahun dilokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis turut merampas pisau lipat milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dikatakan mangsa mencuri portable speaker (pembesar suara mudah alih) di warung milik salah seorang suspek.

“Mangsa yang berada ditempat kejadian dikatakan memasang speaker milik suspek dengan kuat sehinggalah berlaku pergaduhan. Mangsa juga di katakan agak kurang siuman,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod lampau pelbagai kes jenayah termasuk berkaitan dadah.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa terdapat luka kecil di dahi kanan dan di pergelangan tangan kiri.

“Mayat mangsa dibawa ke hospital HRPB untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan masih diteruskan,” katanya.