Kerana janda, pengawal keselamatan sanggup menyamar jadi tentera
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah peribahasa yang sesuai digunakan bagi kesalahan melibatkan seorang pengawal keselamatan yang akhirnya berjaya ditahan pihak polis.
Seorang lelaki yang merupakan pengawal keselamatan berjaya ditahan selepas lima tahun menyamar sebagai seorang anggota tentera.
Kosmo melaporkan motif penyamaran yang dibuat lelaki itu adalah ingin memikat seorang anggota tentera wanita yang berstatus janda.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, pihaknya berjaya merampas pakaian seragam tentera berserta aksesori seperti beg yang mempunyai logo pasukan keselamatan dan sepasang gari dalam satu serbuan yang dilakukan di Rumah Rakyat Sungai Layang, Rembau kira-kira jam 5.50 petang kelmarin.
Hasil soal siasat, lelaki tersebut mengaku terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai tentera di Kem Batalion Kedua, Rejiman 508, Askar Wataniah, Kem Tampin di sini.
Suspek melakukan kesalahan itu pada 8 Disember 2018.
Suspek mahu membuktikan kepada wanita itu bahawa dia seorang pegawai berpangkat tinggi dalam ATM.