Kerajaan umum tol percuma di plaza tol Chan Sow Lin selama sebulan

Kerajaan umum tol percuma di plaza tol Chan Sow Lin selama sebulan

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pengguna jalan raya yang akan menggunakan Plaza Tol Chan Sow Lin bakal menikmati tol percuma selama 30 hari.

Menurut beliau, ganjaran tersebut diberikan kepada pengguna bersempena dengan pembukaan sepenuhnya Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) yang dirasmikan oleh beliau semalam.

“Mulai hari  ini sehingga 2 December 2023, pada jam 11.59 malam, tol secara percuma diberikan kepada pengguna.

“Selain itu, kadar tol di Plaza Tol Chan Sow Lin hanyalah RM3.50 bagi kenderaan berkelas satu, ” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran pembukaan sepenuh Lebuhraya SPE.

Tambahnya, dengan adanya pembinaan lebuh raya itu diyakini dapat menjimatkan masa perjalanan pengguna yang mana sebelum ini terpaksa menghadapi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk, terutamanya laluan-laluan utama ke ibu negara.

“Pihak kami menganggarkan lebih kurang 100,000 buah kenderaan bakal melalui Lebuhraya SPE dalam sehari.

“Justeru, saya diberi jaminan oleh pihak pemaju bahawa mereka akan sentiasa menyelenggarakan lebuh raya ini dengan sebaik-baiknya demi kemudahan pengguna.

Pada majlis yang sama, projek Lebuhraya SPE secara rasminya menerima penganugerahan ‘Malaysia Book of Records’ bagi dua kategori dalam binaan.

Kategori yang dimaksudkan ialah pertama laluan dua dek, terpanjang pada struktur jeti tunggal (dua hala) sejauh 2.104 kilometer.

Manakala  kategori yang kedua ialah jambatan darat bertingkat terpanjang  yang sejauh 20.686 kilometer.