Kerajaan PN Perak, Johor ‘selamat’

Kerajaan PN Perak, Johor ‘selamat’

 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak dan Johor sah tidak tumbang walaupun berlaku kemelut politik melibatkan parti itu di peringkat Pusat.

Ini kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan Johor tetap menyatakan sokongan terhadap PN negeri di bawah pimpinan UMNO walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Isnin.

Ia rentetan daripada 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Kerajaan Negeri Perak pada Disember tahun lalu dibentuk dengan 34 kerusi atas gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN) dengan 26 kerusi, diikuti Bersatu (6) dan Pas (3) diterajui Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Berdasarkan jumlah semasa, UMNO memiliki 26 kerusi dalam DUN Perak, diikuti DAP (15), Parti Amanah Negara (Amanah) (5), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (6), PAS (3), PKR (3) dan bebas (1).

Kerajaan Negeri Perak pada ketika ini menjadi tumpuan di mana pada 4 Disember tahun lalu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Kemelut politik itu selesai di meja rundingan apabila ketiga-tiga pemimpin utama dalam penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu mencapai kata sepakat.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak kemudiannya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10 Disember selepas mendapat kepercayaan majoriti ADUN.

Biarpun kemelut politik yang menyaksikan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, PN Perak tetap berdiri kukuh.

Ketua Penerangan Bersatu Perak, Kader Maiden Hussin berkata, pada ketika ini partinya akan tetap memberi sokongan terhadap kerajaan negeri.

“Kita menyokong penuh kerajaan negeri buat masa ini, bagaimanapun ia turut berpandu kepada keputusan pucuk pimpinan Bersatu di pusat.

“Saya juga akan adakan pertemuan dengan Pengerusi Bersatu Negeri yang juga Timbalan Presiden Parti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mendapatkan perincian lanjut berkenaan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Bersatu Johor menyatakan pendirian terus kekal menyokong kerajaan negeri PN Johor, yang dipimpin UMNO susulan pengumuman peletakan jawatan Muhyiddin dan jemaah menterinya.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sokongan itu kekal meliputi kesemua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.

“Setakat ini, insya-Allah kekal. Bersatu Johor masih menyokong kerajaan negeri Johor sehinggalah ada arahan selanjutnya dari pucuk pimpinan parti,” kata ADUN Bukit Kepong itu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebelum ini memberi mesej tegas kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu dalam pembukaan persidangan keempat Dewan Negeri Johor pada 12 Ogos lalu.

Sultan Johor bertitah, jika ADUN Johor hanya memikirkan kedudukan diri sendiri berbanding berkhidmat kepada rakyat adalah lebih baik tidak perlu ada wakil rakyat di negeri itu.

Baginda menasihatkan semua ADUN supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor bukannya bermain politik.

Malah, Baginda turut mengingatkan kesemua ADUN supaya tidak mengganggu-gugat kerajaan negeri Johor di mana tindakan membubar DUN akan dilakukan jika perkara terbabit dilakukan pada sidang kali ini.

Sumber: Sinar Harian