Kerajaan PN masih mahu ‘main masa’ dengan titah Agong?
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mahu ‘bermain masa’ dan berlengah terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara jelas bertitah sidang Parlimen hendaklah diadakan secepat mungkin.
“Ini membolehkan Ordinan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli ahli Dewan Rakyat.
“Tetapi berdasarksn circular yang tersebar luas, sidang Parlimen 5 hari bermula 26 Ogos 2021 ini tidak lebih daripada sesi taklimat sahaja,” katanya di hantaran Facebook hari ini.
Mohd Puad berkata, mungkin tindakan kerajaan PN itu didorong setelah mendapat sokongan penuh barisan Kabinet kepada kepimpinanan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mungkin ini didorong setelah mendapat talian hayat sokongan ahli Jamaah Menteri termasuk dari Umno kepada Perdana Menteri?
“Terpulang kepada rakyat untuk menjawab soalan “derhaka atau politiking” di atas?,” ujarnya lagi.
Terdahulu, setelah digantung susulan pelaksaan proklamasi darurat, persidangan Parlimen bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan pada 6 September ini.
Yang di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerusi kenyataan berkata, Muhyiddin selaku Ketua Majlis memutuskan mesyuarat pertama Dewan Rakyat berlangsung dari 6 hingga 30 September ini.
Manakala, mesyuarat kedua Dewan Rakyat bakal bermula 25 Oktober hingga 16 Disember 2021.
“Dengan pemakluman ini, istiadat pembukaan mesyuarat penggal keempat, Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada 6 September jam 10 pagi di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Azhar memaklumkan pada 26 Julai ini akan berlangsung mesyuarat khas Parlimen selama lima hari.
Sumber: Malaysiapost