Kerajaan perkenal beras putih Malaysia Madani berharga RM30 sekampit

Kerajaan perkenal beras putih Malaysia Madani berharga RM30 sekampit

 

Kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit berkuat kuasa 19 Februari ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata ini bermakna tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata dalam tempoh 19 Februari hingga 1 Mac 2024, kerajaan memberi masa kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dengan membenarkan semua jenis pembungkusan lama dijual sehingga stok pengampitan di pemborong habis.

“Apa yang kita buat ini untuk memberikan suatu harga yang lebih selesa kepada rakyat sebenarnya. Pelarasan ini dibuat oleh industri untuk memberikan harga yang sesuai… dan adanya dalam pasaran untuk semua rakyat.

“Selain itu, harga Beras Putih Malaysia Madani bagi per kampit beras lima kg pula ditetapkan pada harga RM15.50 manakala kampit satu kg pada harga RM3.50,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata walaupun semua jenis pembungkusan dan warna pengampitan sedia ada dibenarkan sehingga stok di peringkat pemborong habis, pemain industri beras masih perlu mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras mengikut ketetapan baharu sehingga 1 Mac ini.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai tetapi mesti ditampal dengan pelekat harga Beras Putih Malaysia MADANI yang ditetapkan.

“Ini memberi ruang (memandangkan) selama 18 tahun harga beras tidak naik. Ini juga bagi membolehkan petani serta pesawah lebih selesa dengan harga siling beras (baharu)… dan industri juga boleh bertahan dengan harga RM30 untuk (setiap) 10kg,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata cadangan pengenalan Beras Putih Malaysia Madani itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

“Saya telah diberi amanah (memegang) jawatan (Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL ini untuk menyelesaikan sedikit-sebanyak kos sara hidup ini. Saya kena buat tindakan pantas. (Maka), ini pengumumannya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu berperanan sebagai mekanisme untuk menghentikan tindakan memanipulasi atau membungkus semula beras putih tempatan kepada jenama yang lebih mahal.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata ini kerana segelintir pengeluar sebelum ini dipercayai mencampurkan beras putih tempatan di dalam kampit beras putih import bagi tujuan meraih lebih keuntungan.

“Ia berpunca daripada tiada kawalan harga ditetapkan bagi bekalan beras putih import, (sekali gus) menyebabkan harganya sentiasa tinggi selain turut didorong faktor lonjakan harga import akibat kenaikan harga beras global.

“Perkara itu menyebabkan label beras putih tempatan ditukar kepada beras putih import atau dicampur dan sebagainya sehingga menyebabkan bekalannya sukar didapati di pasaran,” katanya.

Sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).