Kerajaan Perak saran semua agensi dan GLC salur bantuan

Kerajaan Perak saran semua agensi dan GLC salur bantuan

Semua agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Perak disarankan untuk bersama-sama kerajaan negeri menyalurkan bantuan kepada penduduk-penduduk yang berada dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini.

Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata saranan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu bagi memastikan kebajikan mereka terjamin pada sepanjang tempoh PKPD tersebut.

Katanya susulan PKPD di Zon A Taman Klebang Jaya dan Zon B Taman Pinji Mewah, di sini, beberapa agensi dan pihak telah tampil memberikan sumbangan kepada 1468 buah rumah di kedua-dua kawasan terbabit.

Ujarnya setiap rumah bakal menerima bantuan daripada kerajaan negeri berupa barangan makanan mentah seperti dua ekor daging ayam segar, dua kilogram (kg) ikan segar, beras, minyak masa, dan sebagainya.

“Menteri Besar menegaskan bahawa mereka mesti memastikan segala barang keperluan mencukupi untuk penerima. Bukan sahaja barangan seperti itu sebaliknya barangan lain seperti lampin dan susu bayi akan disediakan juga.

“Penyaluran bantuan bukan sahaja melibatkan di Taman Pinji Mewah, malah Zon A Taman Klebang Jaya juga akan menerima bantuan sama,” katanya ketika ditemui di pusat pengumpulan barangan bantuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hafez berkata antara penyumbang kepada barangan bantuan tersebut adalah Pejabat Menteri Besar Perak, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Pejabat Parlimen Tambun, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri dan dibantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gopeng.

Sementara itu katanya lagi, penduduk di kedua-dua kawasan tersebut boleh berhubung terus dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana sekiranya mempunyai sebarang permintaan untuk keperluan barangan harian.

“Sekiranya PKPD bersambung maka kita akan teruskan bantuan itu, bukan sahaja pada hari ini. Setiap rumah kita berikan dua kilo ayam, dua kilo ikan, sekilo sayur dan beberapa barangan lain.

Sumber: https://peraktoday.com.my/2020/12/agensi-dan-glc-perak-disaran-salur-bantuan-di-kawasan-pkpd/