Kerajaan Perak akan wartakan Air Terjun Tanjung Batu sebagai hutan perlindungan

Kerajaan Perak akan wartakan Air Terjun Tanjung Batu sebagai hutan perlindungan

Kerajaan negeri akan mewartakan Air Terjun Tanjung Batu di Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang yang sebelum ini tular berikutan berlakunya kemusnahan alam sebagai hutan perlindungan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan kawasan hutan simpan di situ dipelihara sepenuhnya daripada sebarang kegiatan pengkuarian dan pembalakan.

Mohd. Akmal berkata, tinjauan yang dibuat bersama Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati kawasan air terjun terbabit masih terpelihara daripada sebarang kerosakan dengan kebersihan dan kualiti bekalan airnya di tahap kelas pertama iaitu berada dalam keadaan semulajadi.

“Saya sudah melihat air terjun itu. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah mengesahkan bahawa air di situ boleh dibuat minum tanpa apa-apa tapisan.

“Atas sebab itu, kita telah mengesyorkan agar air terjun berkenaan yang berada dalam Kompartmen 15 HSK Segari Mintang diletakkan sebagai hutan perlindungan,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke Air Terjun Tanjung Batu di sini hari ini.

Mohd. Akmal berkata, pewartaan yang akan dilaksanakan Jabatan Perhutanan Perak itu akan turut mengambil kira kawasan lain yang mempunyai nilai kepentingan sama.

“Bagi aktiviti lasak seperti mendaki, mandi, berkelah serta tujuan kajian, ia masih dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas laporan berhubung kerosakan alam sekitar yang berlaku di kawasan itu, Mohd. Akmal berkata, kerosakan itu tidak menjejaskan kawasan Air Terjun Tanjung Batu.

Katanya, daripada laporan Jabatan Ukur dan Pemetaan, kawasan dimaksudkan terjejas adalah alur air bermusim yang berada di kompartmen berlainan yang terlatak kira-kira satu kilometer dari lokasi air terjun.

Beliau berkata, kekeliruan timbul kerana difahamkan masyarakat sekitar juga menggelarkan alur itu sebagai Air Terjun Tanjung Batu sebaliknya semakan dibuat mendapati kawasan itu masih tiada nama. – KO