Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata sasaran utama program ini adalah untuk membantu pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama termasuk 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020, tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik COVID-19.

“Turut mendapat manfaat secara langsung daripada program TCS ialah 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada 2021, pelajar Tingkatan Empat (30,320), pelajar Tingkatan Satu (31,761) dan murid Tahun satu (31,742).

“Melalui program ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan tuisyen atau kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

“Program ini bakal merangkumi inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan, program latih tubi menjelang peperiksaan, seminar menjawab soalan peperiksaan dan penyediaan bahan pengajaran berasaskan video interaktif.

“Program ini sudah bermula Isnin lalu yang melibatkan 244 buah sekolah dan 488 orang guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya menerusi aplikasi Zoom seterusnya merasmikan Majlis Pelancaran Program Tuisyen Cikgu Saarani dan Penyerahan Replika Cek Sumbangan Bantuan Khas Makanan, di sini pada Rabu.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia,Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamad Ali, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Rahimah Mohamad dan Yang DiPertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perak, Suhaimi Harun.

Jelas Saarani, buat permulaan kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM 2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

Ujarnya calon SPM berkenaan akan diberikan makanan tengahari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula 22 Februari ini.

“Seperti yang semua maklum, dahulunya saya cikgu jadi saya mulakan jawatan sebagai Menteri Besar ini waktu saya sedari para pelajar di sekolah-sekolah terutamanya luar bandar sedang bergelut menghadapi SPM yang sudah bertunda-tunda.

“Saya dapat maklumat daripada Pengarah dan Timbalan Pengarah Pelajaran, Exco Pelajaran dan keluarga pelajar menceritakan mereka ada satu program iaitu membuat kelas tambahan secara intensif setiap petang.

“Kebimbangannya ialah kalau nanti tiada makanan tengahari maka pelajar lapar dan kalau mereka balik makan dikhuatiri tidak sempat kembali ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selain menggunakan dana kerajaan, peruntukan tersebut turut meliputi sumbangan kewangan daripada syarikat milik kerajaan negeri (GLC) iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP). – SP