Kerajaan negeri mahu ‘win-win situation’ projek akuakultur
Kerajaan negeri perlu mengkaji semula pelaksanaan projek kolam udang seluas 200 ekar di pesisir pantai dekat Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang kerana didakwa memberi kesan negatif kepada nelayan dan penduduk sekitar.
Difahamkan, projek berkenaan dibangunkan sebuah koperasi di atas tanah milik tanah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnol Zulkarnain Abd Munaim berkata, projek itu dipercayai akan menjejaskan pendapatan nelayan pantai yang mencari rezeki di perairan berkenaan.
Menurutnya, jika projek itu dilaksanakan, air buangan kolam udang didakwa akan merosakkan habitat dan ekosistem hidupan di kawasan paya bakau terbabit.
“Saya mewakili rakyat berpendapat pelaksanaan projek akuakultur oleh sebuah koperasi yang dilantik SADC tidak sesuai dan akan membawa kesan buruk pada penduduk dan komuniti nelayan, di sini.
“Kita bimbang rezeki penduduk khususnya nelayan yang mencari makan di kawasan paya bakau ini akan terjejas.
“Tiada halangan jika mereka mahu melaksanakan sebarang projek, namun perlu mengambil kira kepentingan penduduk dan berbincang mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut kesal apabila ada pihak berani menceroboh tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk ke tapak projek akuakultur itu, baru-baru ini tanpa kebenaran.
“Pihak SADC dan kerajaan negeri diharap dapat mengkaji semula projek ini dan secara peribadi saya sarankan dibina penempatan penduduk khusus warga nelayan di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria berkata, SADC akan meneruskan projek akuakultur terbabit kerana ianya masih di dalam Zon Industri Akuakultur yang diwartakan dan termasuk dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035.
“Bagaimanapun, perbincangan lanjut dan kajian menyeluruh dari pelbagai sudut akan dijalankan bagi memastikan situasi menang-menang dicapai antara pihak kerajaan dan penduduk.
“Cadangan beliau (Hasnol Zulkarnain) baik, namun ia tidak sesuai didirikan penempatan kerana ianya adalah kawasan paya bakau dan telalu hampir dengan laut,” katanya. – HM