Kerajaan benarkan beberapa kilang lagi beroperasi di kawasan PKPD

Kerajaan benarkan beberapa kilang lagi beroperasi di kawasan PKPD

Beberapa sektor kritikal utama dibenarkan untuk beroperasi di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor bermula hari ini.

Ia adalah sektor elektrikal dan elektronik (E&E) dan rantaiannya, sektor aeroangkasa (penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan (MRO)); sektor mesin dan peralatan (M&E) yang khusus kepada pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, senarai produk makanan dan minuman utama ini disenaraikan di dalam prosedur operasi standard (SOP) Pengilangan dan Pembuatan PKPD Selangor yang boleh diakses di laman web www.miti.gov.my.

Menurutnya, keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk-produk di dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan dan minuman di dalam negara.

Syarikat-syarikat di dalam sektor berkenaan boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ dan bertarikh pada bulan Jun 2021 dan ke atas.

Dalam pada itu, MITI mengingatkan kewajipan syarikat-syarikat untuk mematuhi SOP pengilangan dan pembuatan PKPD Selangor semasa sepenuhnya yang merangkumi antaranya sektor dan aktiviti yang dibenarkan untuk beroperasi, dan keperluan mematuhi kapasiti operasi pada kadar 60 peratus bagi pekerja di premis dan 40 peratus lagi pekerja untuk melaksanakan amalan bekerja dari rumah.

Melalui Proram Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), yang bermula 16 Jun 2021, MITI akan memastikan program vaksinasi di kalangan pekerja sektor pembuatan akan dipertingkat dan dipercepatkan untuk melindungi kesihatan pekerja dan menjamin kelangsungan ekonomi negara.

MITI juga menyeru pihak industri terus bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan kejayaan mengawal penularan wabak Covid-19.

Aktiviti penguatkuasaan akan dipertingkatkan oleh agensi penguatkuasa berdasarkan penilaian Sistem Amaran Awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang mampu mengesan lokasi yang berisiko tinggi yang menjadi punca kepada penularan Covid-19 dan mana-mana syarikat yang didapati tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan perundangan termasuk kompaun atau penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu.

Sumber: Malaysia Gazette