Netizen geram baca kenyataan media MOTAC isu check-in lambat, check-out awal
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkenaan isu penetapan masa daftar masuk dan keluar di hotel-hotel sekitar Malaysia jelas buat netizen geram.
Kenyataan satu muka surat yang disiarkan di laman X MOTAC (dahulunya Twitter) dilihat rakyat Malaysia seolah-olah seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ atau dikeluarkan tanpa ada sebarang fungsi.
Bagi rakyat Malaysia, kenyataan 5 perenggan yang dikeluarkan oleh MOTAC – kementerian yang mempunyai bidang kuasa dari segi penguatkuasaan dan undang-undang untuk membuat satu ketetapan atau memberi satu jalan penyelesaian – hanya memilih untuk memantau isu berkenaan serta meminta orang ramai untuk membaca dan memahami terma syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ingin merujuk kepada isu yang sedang tular di media sosial berkaitan waktu daftar masuk (check-in) dan daftar keluar (check-out) industri perhotelan di Malaysia. MOTAC memahami kebimbangan yang disuarakan oleh orang awam serta pelancong berhubung perkara ini.
“MOTAC sedang memantau isu ini dengan lebih dekat dan juga memberikan perhatian serius terhadap pengusaha industri perhotelan yang berkaitan untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini. Kenyataan Media telah pun dikeluarkan oleh Malaysia Budget & Business Hotel Association (MyBHA) dan Malaysian Tourism Federation (MTF) sebagai penjelasan lanjut.
“MOTAC juga ingin menashatkan orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel sebelum membuat tempahan. Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang salah faham atau ketidakpuasan hati, terutamanya berkaitan dengan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan,” katanya.
Di bahagian komen, kelihatan suara-suara rakyat Malaysia yang kurang berpuas hati dengan tindakan MOTAC yang memilih untuk memantau sahaja isu ini, tanpa memberi sebarang jalan penyelesaian.
Sebahagian netizen pula merasa kenyataan media ini tidak bersungguh dan tanda-tanda kenapa rakyat Malaysia perlu bercuti keluar negara kerana kementerian yang menjaga industri ini tidak bersungguh mahu melindungi pengguna yang mahu menyokong pelancongan tempatan.
Untuk rekod, isu waktu check-in dan check-out hotel yang tidak konsisten semakin mendapat perhatian ramai apabila seorang netizen meluahkan rasa kurang senang dengan masa yang ditetapkan oleh pihak hotel.
Luahan Hakim H(@netnetwok) ini telah mencetuskan perbincangan di media sosial sehingga dia merayu agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk campur tangan bagi menyelaraskan masa daftar masuk dan keluar hotel-hotel di Malaysia.
Beliau mengeluh mengenai amalan hotel di Malaysia yang menetapkan waktu daftar masuk semakin lewat tetapi mempercepatkan waktu daftar keluar, menyebabkan orang ramai tidak berpuas hati.