Kementerian Pengangkutan (MOT) membenarkan kenderaan barangan untuk beroperasi di atas jalan raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina bermula minggu depan.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, MOT tidak akan melaksanakan perintah larangan tersebut memandangkan semua negeri berada di bawah pelaksanaan PKP sehingga 18 Februari ini dan Sarawak yang berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB) sehingga 14 Februari.
Beliau berkata, tiada halangan pengoperasian dikenakan bagi perkhidmatan perlu sepanjang tempoh PKP termasuk ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.
Tambahnya, ia selari dengan peraturan-peraturan sedia ada di sepanjang tempoh PKP dan PKPB termasuk yang melarang pergerakan rentas negeri dan daerah kecuali bagi sektor kritikal yang telah dibenarkan.
“Namun diingatkan bahawa segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi tanpa sebarang kompromi,” katanya.
“Pada setiap tahun, MOT biasanya mengeluarkan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada beroperasi di atas jalan raya bagi beberapa hari yang ditetapkan di sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina,”katanya. – KO