“Kenapa murah” – Hanya perlu bayar RM8, ‘uncle’ tergamam pemilik restoran beri diskaun 91 peratus

“Kenapa murah” – Hanya perlu bayar RM8, ‘uncle’ tergamam pemilik restoran beri diskaun 91 peratus

 

Seperti yang kita tahu, ramai di kalangan warga Malaysia yang mempunyai sikap pemurah dan sentiasa menghulurkan sedekah kepada golongan masyarakat. Tidak kiralah dalam bentuk wang, harta benda, makanan atau sebagainya.

Ramai juga di antara kita yang selalu mengamalkan konsep, “Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.”

Perkara tersebut bukan sahaja akan memudahkan urusan orang lain, bahkan ia juga akan membuatkan pihak yang menerima berasa gembira dan bersyukur.

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@bangsuduu2) menyaksikan seorang pelanggan setia Restoran BangSudu berkunjung ke kedai makan tersebut untuk menikmati juadahnya.

Menurut pemilik kedai makan yang mesra dikenali sebagai Abang Sudu, pakcik tersebut sering berkunjung kedainya dan membawa rakan-rakan yang lain datang bersama.

Bukan itu sahaja, pakcik berkenaan juga dikatakan tidak berkira untuk selalu membelanja kawan yang lain makan di sana. Oleh disebabkan itu, Abang Sudu tergerak hati untuk membalas semula kebaikan pakcik itu.

Apabila sudah kira keseluruhan bil lelaki tersebut, Abang Sudu berkata bahawa caj dikenakan adalah sebanyak RM89.10.

Sewaktu pakcik tersebut mahu membuat bayaran, Abang Sudu secara spontan meminta pelanggannya untuk memeriksa baki peratus bateri telefon bimbit yang tinggal.

Memandangkan baki bateri pakcik adalah sebanyak 91%, Abang Sudu telah memberikannya diskaun makan dengan jumlah peratusan yang sama. Jumlah akhir yang perlu dibayar oleh pelanggan itu hanyalah sebanyak RM8.02 sahaja!

Tidak sangka dengan perkara tersebut, pakcik berkenaan dilihat tergamam kerana Abang Sudu memberikan diskaun yang begitu banyak kepadanya.

Di akhir perkongsian, pakcik itu turut menzahirkan ucapan terima kasih selain berkata dia akan membawa rakan-rakannya lagi untuk makan di restoran tersebut.

@bangsuduu2

Selalu sangat uncle ni buat macam ni, so harini turn saya 🥹 #fyp #foryou #suduada

♬ original sound – Bangsudu – Bangsudu

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji BangSudu kerana berkongsi rezeki dengan pelanggan tetapnya.

“Moga rezeki Abang Sudu dan seluruh team semakin melimpah ruah dan berkat serta dapat menggembirakan lebih ramai orang,” kata seorang individu.

Malah ada yang berseloroh dengan berkata orang dewasa selalu memastikan telefon mereka mempunyai peratus bateri yang penuh kalau nak ke mana-mana.

“Telefon bapak aku memang takkan kurang dari 80%,” ujar seorang wanita.

Sementara itu, ramai juga individu berasa sebak melihat pakcik yang terkedu dengan diskaun ‘kaw-kaw’ tersebut.

“Dia punya terkejut dan clueless tu, sayu aku tengok. Rezeki dia baik, orang sekeliling dia pun baik-baik,” jelas seorang pengguna TikTok.