Kenapa hidupkan imej Kerajaan PN 2.0?, soal MKT Umno

Kenapa hidupkan imej Kerajaan PN 2.0?, soal MKT Umno

 

PELANTIKAN bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) membuktikan telahan kerajaan hari ini adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 hampir tepat.

Malah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan kerajaan baharu yang dibentuk itu adalah kerajaan PN 2.0 walaupun dipimpin Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) semakin terserlah kebenarannya.

Mohd Puad turut memetik kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang sebelum ini berkeras menolak polemik penjenamaan nama kerajaan baharu yang disifatkannya tidak pernah wujud.

“Shahidan Kassim adalah betul bila dia dakwa kerajaan hari ini adalah kerajaan PN. Dia tolak nama “Kerajaan Malaysia” atau “Keluarga Malaysia”.

“Sekarang dakwaannya makin betul kerana Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Walhasil balik asal.

“MKT Umno sudah mengingatkan, jangan dihidupkan imej kerajaan PN 2.0, ” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, pelantikan Muhyiddin itu telah mencetuskan spekulasi adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhadapan tekanan politik daripada pihak Bersatu.

“Bagaimana Muhyiddin terlantik? Apakah dia menekan Ismail Sabri atau Ismail Sabri lantik dengan sukarela kerana percaya Muhyiddin bukan Perdana Menteri gagal sebelumnya?

Kalau dipaksa kerana syarat sokongan Bersatu, itu bermakna Ismail akan jadi Perdana Menteri “terkawal” dan merelakan ini adalah kerajaan PN 2.0.

“Lantikan itu juga menyelamatkan Bersatu. Parti itu kembali kuat dalam kerajaan. Bersatu ada ruang tawar menawar untuk mengikat Umno dalam agihan kerusi untuk PRU ke 15,” katanya.

Mohd Puad menambah, imej Muhyiddin yang gagal dalam memerangi wabak Covid-19, namun tetap dipilih menjadi Pengerusi MPN akan menjadi isu besar dan pertikaian rakyat.

“Itu satu isu. Isu besar sekarang ialah imej gagal Muhyiddin akan menghantui kerajaan baru PM kesembilan.

“Apakah Majlis Pemulihan Negara mempunyai bidang kuasa yang besar. Pasti akan ada “term of reference” yang menjadikannya lebih “berautoriti”.

“Kalau itu dibenarkan, Ismail Sabri tidak akan ada kebebasan mengurus negara. Politiking akan berterusan. Tiada kestabilan,” katanya.

Sumber: Malaysiapost