“Kenapa cakap macam tu?” – To’ki kesal dipanggil pengemis, dedah sebab bawa parang jumpa pemilik rumah

“Kenapa cakap macam tu?” – To’ki kesal dipanggil pengemis, dedah sebab bawa parang jumpa pemilik rumah

 

Sebelum ini, tular mengenai kisah seorang penyanyi lelaki era 90-an yang didakwa bertindak mengeluarkan parang ketika pemilik rumah sewanya datang untuk berbincang.

Dihina sebagai pengemis

Menerusi temubual program Melodi, To’ki mengatakan punca dia bertindak mengeluarkan parang ketika pemilik rumah datang adalah untuk melindungi diri dan keluarga dari sebarang kemungkinan.

To’ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur, berkata, dirinya turut dihina sebagai pengemis dan diganggu pada tengah malam dengan kehadiran pemilik rumah bersama beberapa orang untuk menghalaunya keluar dari rumah sewa itu.

Tambah To’ki bayaran sewa tertunggak selama dua bulan disebabkan dia tidak dapat bekerja untuk menjaga ibu mentuanya yang diserang penyakit angin ahmar.

Setiap manusia ada jatuh dan bangun. Sebelum ini kan bayar, cuma dua bulan terakhir ini tak bayar sewa. Ini kerana saya perlu menjaga mentua dan termasuk keadaan ekonomi tidak menentu.

Saya bukan tak nak bayar, cuma salahnya emosi. Bila pukul 12 tengah malam pemilik rumah datang, bawa orang ramai, disebut pula pengemis. Kenapa cakap macam tu?

Saya mesti lindungi keluarga saya, ibu mentua saya kena ‘stroke’ (angin ahmar) dah dua tahun. Kalau tengah malam datang nak halau saya sampai bawa enam ke lapan orang, jadi untuk lindungi diri saya ambil parang. Jam 4 pagi pun pernah telefon, mesej di WhatsApp ugut dan menghina, kalau To’ki lambat bayar, saya akan viralkan.

Pada masa yang sama, penyanyi berusia 58 tahun itu menafikan dakwaan mengenai bil elektrik yang mencecah sehingga RM6,000. To’ki mengakui bil elektrik melambung naik disebabkan penggunaan penghawa dingin.

Ambil upah menyanyi

Selain itu, To’ki menyatakan sehingga kini, dia masih mengambil upah menyanyi di sebuah restoran, namun bayarannya tidak seberapa.

To’ki bukan sahaja menanggung keluarga dan mentua yang sakit, malah dia juga menanggung dua anak dengan bekas isteri yang masih bersekolah dan menuntut di universiti.

Tawaran kerja kurang. Walaupun saya ni susah, tetapi saya tidak berhutang dengan orang, tak pernah mengemis depan orang. Saya kerja cari duit. Saya tak meminta atau mengemis.

Ditanya mengenai isu membuang sampah merata-rata, To’ki menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan ada seorang jiran yang tidak suka dengan kehadirannya di kawasan itu dari dulu lagi.

Saya tidak tahu apa masalah manusia ini. Ada seorang jiran ini, saya dah banyak kali cuba buat baik dengannya tapi dia masih tak suka saya.

Mula-mula saya datang duduk lebih kurang seminggu. Bila dia cakap kalau tak sesuai duduk sini, boleh balik ke hutan. Tak apalah, saya abaikan saja.

Bukan nak kata saya sombong, saya pun manusia juga. Kita bukan anak orang kaya, kita cuma orang seni yang biasa.

Walaupun dimalukan, To’ki bersyukur apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantu dirinya menyelesaikan tunggakan sewa selain mencari kediaman baharu buatnya.

Ada hikmah walaupun dimalukan sebegini. Saya tahu kalau orang aniaya, Allah nak angkat darjat kita. MAIWP bantu saya nak carikan rumah.