Kemelut Pafa bukan tanggungjawab FAM

Kemelut Pafa bukan tanggungjawab FAM

 

Kemelut yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bukan di bawah tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetapi membabitkan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyelesaian berhubung kemelut berlarutan yang melanda Pafa.

Hamidin berkata, pihaknya sudah menerima surat berhubung kemelut itu namun proses kesahihan mana-mana kelab serta mesyuarat agung adalah di bawah PJS.

“Perlu saya tegaskan dan maklumkan bahawa proses mengatakan kesahihan itu adalah terletak bawah PJS.

“Manakala FAM hanya boleh bekerjasama sahaja,” katanya kepada media di Padang Kopa Arena Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan kemelut kepimpinan bola sepak Perak yang semakin berlarutan apabila Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mendakwa dirinya masih lagi presiden badan induk itu yang sah bagi penggal 2021 hingga 2025.

Pelantikan itu katanya dibuat dalam Kongres Tahunan Pafa Kali Ke-63 selain turut mendapat sokongan daripada tujuh ahli gabungan badan induk berkenaan.

Muhammad Yadzan berkata, perlantikan itu sepatutnya dibuat pada tahun lalu namun disebabkan penularan Covid-19, ia terpaksa tangguhkan ke tahun ini.

Ia bukan sahaja membabitkan jawatan presiden tetapi keseluruhan jawatankuasa kepimpinan Pafa.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata, belum ada sebarang keputusan berhubung isu pergaduhan pemain Penang FC dan Terengganu FC II (TFC II) pada aksi pramusim Piala Menteri Besar Terengganu baru-baru ini.

“Ia masih dalam siasatan,” katanya.

Sebelum ini FAM dikatakan sedang menunggu laporan penuh pegawai pengadil sebelum menjatuhkan hukuman terhadap pemain-pemain berkenaan yang ‘bergaduh’ pada aksi pramusim Piala Menteri Besar Terengganu.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, perlawanan antara kedua-dua pasukan terpaksa dihentikan selepas pemain skuad Harimau Kumbang, Adib Raop mengalami pendarahan di bahagian hidung selepas ditumbuk oleh pemain TFC II.