Kematian yang dicemburui, sukarelawan meninggal dunia ketika bantu misi banjir

Kematian yang dicemburui, sukarelawan meninggal dunia ketika bantu misi banjir

 

Pemergiannya bagaikan satu kematian yang sungguh dicemburui, apatah lagi dia ditakdirkan kembali menghadap Ilahi ketika di hari Jumaat yang penuh barakah.

Demikianlah perumpamaan bagi seorang sukarelawan yang dilaporkan meninggal dunia ketika sedang berbakti membantu misi banjir di Sepang hari ini.

Berita hiba tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah menerusi laman Facebooknya petang tadi.

“Mendapat khabar duka bahawa Tuan Ahmad Zaki bin Mahbar, Komandan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Mersing, merupakan salah seorang sukarelawan Khidmat Malaysia Negeri Johor meninggal dunia ketika bertugas dalam ‘ops banjir’ di Bukit Changgang Sepang.

“Beliau collapsed dan terus dibawa ke Hospital Daerah Banting. Diisytiharkan meninggal (dunia) di sana.

“Sangat besar pengorbanan beliau yang turut terlibat dalam operasi banjir bersama dengan anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia lainnya dari seluruh negara.

“Semoga diganjari dengan sebaik-baik ganjaran di sisi Allah SWT dan ditempatkan bersama para Syuhada,” katanya dalam perkongsian itu.

Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman. Salam takziah. Al-Fatihah.

Gambar: Mohd Yusni Mat Piah