Kemalangan tak luntur semangat calon SPM

Kemalangan tak luntur semangat calon SPM

 

Insiden kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan cedera kaki sebelah kiri empat hari sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melunturkan semangat S Nagaraj, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini untuk menduduki peperiksaan itu, hari ini.

Nagaraj berkata, motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta ketika dia mahu pulang ke rumahnya.

“Saya bernasib baik dan bersyukur masih boleh berjalan dan dapat menduduki peperiksaan SPM, hari ini.

“Saya masih lagi boleh berjalan dan saya akan cuba buat yang terbaik untuk peperiksaan hari ini,” katanya ketika ditemui sebelum masuk ke dewan peperiksaan untuk menduduki peperiksaan di sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, ibu dan bapanya bekerja kilang, justeru dia akan berusaha yang terbaik bagi mendapatkan keputusan baik dalam peperiksaan itu nanti.

“Memang agak sukar kerana perlu belajar dalam suasana negara dilanda COVID-19.

“Namun, saya sudah membuat persediaan dan mengulangkaji sebanyak mungkin sebelum datang ke peperiksaan hari ini,” katanya.

Katanya, dia dihantar oleh ibu saudaranya dan tiba jam 6.30 pagi di sekolah itu untuk menduduki peperiksaan.

Sementara itu, Seramai 33,149 orang calon membabitkan 328 pusat peperiksaan mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di negeri ini, bermula pada pagi ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Azmi Dahali, berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 31,658 orang calon sekolah dan 1,491 orang mendaftar sebagai calon persendirian.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 115 orang adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK).

“Selain itu, seramai dua pelajar lelaki menduduki peperiksaan di hospital kerana mempunyai masalah kesihatan iaitu seorang di Hospital Taiping dan seorang lagi di Hospital Teluk Intan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan pelajar yang menduduki SPM di SMK Tasek Damai di sini, hari ini.