Keluarkan nama isteri dari syarikat, perbuatan ini jatuh dalam definisi keganasan rumahtangga

Keluarkan nama isteri dari syarikat, perbuatan ini jatuh dalam definisi keganasan rumahtangga

 

Kes Nuramirah dan Elazman ini, banyak berlaku dalam masyarakat kita. Cuma bezanya pada pasangan lain mereka ini bukan ‘public figure’, jadi kita tidak dengar.

Penting untuk kita tahu tentang undang-undang yang berkaitan isu begini. Kalau tidak terjadi kepada diri sendiri, mungkin juga kepada kawan-kawan. Jadi kita boleh nasihatkan.

Kes mengeluarkan nama isteri dari syarikat, menafikan haknya, juga adalah merupakan satu perbuatan yang jatuh dalam definisi keganasan rumah tangga.

Kebiasaannya, kita faham bahawa keganasan rumah tangga itu adalah perbuatan pukul, mencederakan atau kata-kata makian sehingga menyebabkan tekanan emosi dan mental. Skop maksud keganasan rumah tangga lebih luas.

Seksyen 2 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) memberikan 10 jenis perbuatan keganasan rumah tangga (termasuk pindaan). Antaranya seperti yang kita faham, pukul, mencederakan, maki hamun, mengurung, menakutkan untuk mencederakan.

Sebagai tambahan, definisi ini turut melibatkan perbuatan terhadap harta benda si mangsa. Misalnya, melakukan khianat atau kemusnahan kepada harta benda mangsa dengan niat untuk menyebabkan kesedihan dan sebagai penderaan psikologi kepada mangsa.

Terdapat tiga pindaan penambahan baru kepada definsi ini, sekaligus meluaskan lagi skop makna keganasan perubahan rumah tangga. Iaitu sekiranya (1) Pelaku dengan curang menggelapkan harta mangsa yang menyebabkan mangsa itu mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan.

(2) Mengugut mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa itu takut akan keselamatan dirinya atau keselamatan hartanya dan (3) berhubung dengan mangsa atau pihak ketiga dengan niat hendak mengaibkan mangsa.

Begitulah luasnya skop keganasan rumah tangga (KRT). Jika ianya sudah dalam kategori KRT ini, apa boleh dilakukan mangsa? Buat laporan polis. Boleh dapatkan perintah perlindungan untuk menghalang pelaku.

Banyak cara-cara yang boleh diambil. Tidak semestinya melalui peguam untuk memfailkan tuntutan ini. Rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk konsultansi. Sekurang-kurangnya kita tahu apa pilihan yang ada.

Bawah Seksyen 10 (1) Akta 521 pula, memperuntukkan bahawa mangsa KRT yang mengalami kecederaan diri atau kerosakan kepada harta atau kerugian kewangan boleh menuntut pampasan. Mahkamah boleh boleh mengawardkan apa-apa pampasan berkenaan dengan kecederaan atau kerosakan atau kerugian dianggap munasabah.

Contohnya kes Dato Awie yang baru-baru ini diputuskan di mahkamah, AHMAD AZHAR OTHMAN v. ROZANA MISBUN [2020] 6 CLJ 314.

Bekas isteri Awie telah membuat laporan polis, prosiding jenayah telah diteruskan. Terdapat tiga kejadian serangan pukul terhadap bekas isterinya iaitu di rumah, di hadapan kaunter PNB, tempat letak kereta.

Awie telah membayar denda bagi kesalahan pukul yang kedua dan ketiga dan membayar pampasan selaras dengan Kanun Prosedur Jenayah bagi perbuatan serangan pukul yang pertama kepada bekas isterinya.

Walaupun kes ini telah dibuat laporan polis dan Awie telah pun didakwa di mahkamah, bekas isterinya tetap memfailkan tuntutan secara sivil bagi kecederaan yang dialami, antaranya retak tulang rusuk.

Mahkamah membenarkan tuntutan bekas isterinya sebanyak RM80,000 dan berpendapat bahawa tuntutan tersebut adalah wajar mengambil kira kecederaan yang dialami oleh Plaintif selaras dengan S.10 Akta 521.

Kes ini, adalah salah satu contoh bahawa di Malaysia ini pelbagai undang-undang melindungi wanita atau mangsa keganasan rumah tangga (tidak semestinya kaum wanita sahaja, kanak-kanak, ahli keluarga lain, lelaki juga boleh jadi mangsa).

Pokok pangkalnya terletak kepada kita, sama ada hendak berjuang untuk ambil tindakan. Buat polis report, rujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, buat tuntutan di mahkamah.

Kes Elrah ini, kedua-duanya mengusahakan perniagaan bersama-sama. Maka, si isteri boleh menuntut harta sepencarian daripada bekas suami.

Banyak cara. Perlu berani. Kawan-kawan sekeliling perlu banyak berikan nasihat dan sokongan. Mangsa perlukan keberanian, perlukan kekuatan terutama jika melibatkan penderaan emosi. Bukan mudah.

Oleh Nor Zabetha