Keluarga tawar RM10 ribu, cari warga emas hilang di Puncak Jelapang

Keluarga tawar RM10 ribu, cari warga emas hilang di Puncak Jelapang

 

Keluarga Lau Sam, 84, yang hilang ketika mendaki Puncak Jelapang, di sini, menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang menjumpai lelaki itu sama ada dalam keadaan masih hidup atau tidak selepas operasi pencariannya yang memasuki hari kelapan, hari ini, masih gagal menemukannya.

Anaknya, Lau Kok Gian, 48, berkata, ganjaran itu ditawarkan susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak terhadap bapanya ditamatkan semalam susulan gagal menemukan sebarang petunjuk.

Katanya, khidmat profesional seperti malim gunung turut dirayu bagi pencarian bapanya yang dikesan hilang kira-kira jam 6 petang, 11 Mac lalu, ketika melakukan aktiviti mendaki di Puncak Jelapang, di sini, bersama tujuh rakan.

“RM10,000 tetap ditawarkan kepada sesiapa yang menjumpai bapa saya baik dalam keadaan masih hidup atau sebaliknya, termasuk kepada anggota pasukan penyelamat yang turut serta dalam operasi SAR,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden berkenaan di Kawasan Perindustrian dekat Taman Puncak Jelapang Maju, hari ini.

Hadir sama, isteri kepada Lau, Chin Ah Yoong, 81.

Katanya, bapanya yang tidak menghidapi sebarang penyakit kronik disifatkan sebagai pendaki berpengalaman sejak lebih 30 tahun lalu, selain lokasi pendakian kali ini adalah trek biasa dilalui bersama ahli kumpulannya.

Kok Gian berkata, biarpun operasi mencari bapanya sudah ditamatkan pihak bomba, namun dia tetap menzahirkan penghargaan kerana memahami penutupan operasi bukan dilakukan dengan sengaja melainkan sudah berusaha sehabis mungkin.

“Saya sangat hargai usaha pihak bomba mencari bapa dan saya faham penutupan operasi oleh bomba bukan sengaja dilakukan melainkan terlalu banyak rintangan yang sudah ditempuh namun masih gagal menemukan petunjuk,” katanya.

Sementara itu, sumber polis ketika ditemui memaklumkan, operasi mencari Lau Sam di kawasan dilaporkan hilang dilanjutkan seminggu lagi atas inisiatif diambil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Sumber itu berkata, operasi SAR yang diteruskan IPD Ipoh bermula hari ini membabitkan seramai 10 anggota setiap hari, dengan kekuatan tambahan dua anggota bersama anjing pengesan dari unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Ketika operasi dijalankan bersama bomba, polis turut menugaskan anggota dari Pusat Gerakan Am (PGA) bagi bantu mencari mangsa selain menggunakan dron yang dilengkapi sistem pemantauan melalui imbasan suhu (thermal scanner surveillance).

“Kita cuba lagi seminggu untuk mencarinya. Orang ramai, khususnya kepada pendaki berpengalaman dan profesional yang ingin turut serta dalam pencarian boleh berhubung dengan polis melalui PKTK yang didirikan polis berhampiran tempat kejadian,” katanya.