Keluarga orang Asli di Tapah telah dapat bekalan makanan – Ketua Polis Perak

Keluarga orang Asli di Tapah telah dapat bekalan makanan – Ketua Polis Perak
Masalah yang dihadapi keluarga orang Asli di Tapah, Perak yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan kerana dipakaikan gelang merah telah ditangani, menurut Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Mior berkata, polis telah menyalurkan bantuan makanan kepada keluarga itu sebaik mendapat tahu tentang apa yang berlaku, serta telah memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selepas ini mereka akan termasuk dalam mereka yang terima bantuan makanan. Jadi sudah selesai (masalah),” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan masalah yang menimpa Bah Bakril Bah Jali dan tujuh lagi ahli keluarganya yang tinggal di Kampung Simpang Puris Dalam di Tapah, yang antara lain berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

Ia selepas mereka didatangi beberapa pegawai KKM pada 25 Jan lalu yang menyuruh mereka memakai gelang merah tanpa membuat sebarang ujian mahupun memberikan arahan lanjut.

Selepas itu, mereka tidak lagi boleh meninggalkan kawasan tersebut untuk mendapatkan makanan dan tiada jiran yang tinggal berdekatan untuk membantu.

Memandangkan bantuan makanan hanya diagihkan kepada penduduk PKPD yang terlibat, Bah Bakril berkata, penduduk di kawasannya tidak menerima sumbangan berkenaan.

Pada 20 Jan lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD akan dilaksanakan di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang di Perak bermula 21 Jan hingga 3 Feb.

Saringan bersasar melibatkan 494 orang di lokaliti itu.

Menurut Bah Bakril lagi, dia bersama seorang lagi ahli keluarga ke balai polis bergerak untuk memaklumkan keadaan yang dihadapi mereka tetapi “dihalau” kerana mereka memakai gelang merah.

Mengulas perkara itu, Mior berkata mereka bukannya dihalau tetapi tidak dibenarkan keluar daripada kawasan kerana memakai gelang.

“Berlaku salah komunikasi (miscommunication). Anggota tak benarkan keluar daripada kawasan PKPD, minta mereka bincang dengan KKM dulu,” katanya.

Mior berkata lagi, semakan pihaknya juga mengesahkan rumah keluarga itu di luar kawasan yang dikenakan PKPD.

“Di sana ada Kampung Orang Asli Jalan Batu 6 atas dan Batu 6 bawah yang dikenakan PKPD, rumah mereka terletak 1.5 kilometer daripada kawasan itu,” katanya.

Bagaimanapun Mior berkata soal mengapa keluarga itu dipakaikan gelang merah, walaupun tidak diarahkan menjalani ujian saringan, perlu dirujuk kepada KKM.

Malaysiakini telah menghubungi KKM untuk respon dan difahamkan Jabatan Kesihatan Perak sedang menjalankan siasatan.

Mereka dijangka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. – MK