Terlalu ramai anak muda Kelantan berhibur di Golok, terpaksa tunggu ‘shift’ untuk masuk ke kelab malam
Terlalu ramai anak muda Kelantan berhibur di Golok, terpaksa tunggu ‘shift’ untuk masuk ke kelab malam.
Ramai anak muda dari Kelantan termasuk perempuan berkunjung ke Golok, Selatan Thailand pada hari minggu semata-mata untuk berhibur di kelab malam negara jiran berkenaan.
Kebanyakan mereka yang berkunjung ke negara jiran itu akan menggunakan laluan haram dengan ada di kalangan mereka baru berusia belasan tahun.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kebanyakan mereka akan ke Golok pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada Sabtu.
“Mereka akan parkir kenderaan di Rantau Panjang dan memilih laluan haram dengan menyeberangi Sungai Golok untuk ke Thailand berbanding menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh rakan sejawatan saya di Thailand. Mereka memaklumkan, kunjungan rakyat Malaysia di kalangan anak muda begitu ramai terutama pada hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu untuk berkunjung ke kelab malam sehingga terpaksa menunggu giliran untuk masuk ke pusat hiburan.
“Isu ini juga baru dibincangkan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berhubung kunjungan anak muda dari Kelantan ke kelab malam di Golok.
“Hari biasa pun ramai, namun hari minggu lagi ramai. Bayangkan sehingga mereka terpaksa menunggu ‘shift’ untuk masuk ke kelab malam di Golok, Thailand,” katanya menurut BH Online.
Media sebelum ini melaporkan, enam rakyat Malaysia, termasuk seorang artis wanita, ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, Jumaat lalu.
Mereka yang berusia 25 hingga 32 tahun ditahan jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata bagi mengekang kemasukan rakyat Kelantan ke Thailand untuk berhibur dengan menggunakan laluan haram, pihaknya tidak boleh berbuat demikian memandangkan negara berkenaan tidak menyekat kemasukan warga asing secara tidak sah.
“Jika undang-undang di negara kita, warga asing yang masuk secara haram kita akan tangkap dibawah Akta Imigresen, di sana (Thailand) tidak buat macam tu, jadi sukar untuk mengatasi masalah itu.
“Disebabkan itu ramai di kalangan rakyat Kelantan memilih untuk masuk ke Thailand menerusi laluan tidak sah. Justeru, kita menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak terutama mereka yang tidak pulang ke rumah.
“Ini kerana ada yang pergi berhibur baru belasan tahun, tidak kira lelaki atau perempuan. Kita juga tidak tahu sama ada pemergian mereka diketahui ibu bapa masing-masing atau sebaliknya,” katanya.