Kekalkan peruntukan untuk pembangkang – ADUN Manjoi

Kekalkan peruntukan untuk pembangkang – ADUN Manjoi

 

Kerajaan negeri Perak diharap mengekalkan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Bajet Negeri 2023 yang akan dibentang minggu depan.

ADUN Manjoi, Hafez Sabri berkata, ketika pentadbiran sebelum ini, peruntukan diberikan kepada semua ADUN termasuk pembangkang.

Menurutnya, peruntukan berkenaan penting dalam usaha membantu rakyat menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing.

“Sebagai ADUN pembangkang, kita juga mahu diberikan hak sama rata dari segi peruntukan yang boleh dimanfaatkan untuk rakyat. Jadi kita amat berharap pemberian peruntukan kepada semua ADUN dikekalkan seperti sebelum ini.

“Malah kita juga memohon agar peruntukan berkenaan dapat ditambah mengikut jumlah penduduk di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya lebih ramai penduduk terima manfaatnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Hafez yang juga Ketua Pemuda Pas Perak berkata, ADUN Perikatan Nasional (PN) Perak akan menjadi pembangkang yang konstruktif di dalam Sidang DUN nanti.

Menurutnya, apa sahaja dasar dan perancangan yang baik dilakukan oleh kerajaan negeri akan diberikan sokongan asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat serta negeri.

Jelasnya, walaupun ADUN pembangkang, mereka tetap mahu bersama-sama bertanggungjawab membangunkan negeri.

NAJIHATUSSALEHA

Sementara itu, bagi ADUN Bota, Dr Najihatussaleha Ahmad pula, kerajaan negeri diharap dapat memberikan penumpuan terhadap rakyat yang masih berdepan kesukaran ketika pascapandemik Covid-19.

Menurutnya, masih ramai yang perlu dibantu akibat kehilangan pendapatan dan bajet negeri yang akan dibentangkan nanti harus memberi keutamaan terhadap kebajikan rakyat.

“Kita sebenarnya mengharapkan bajet yang dibentangkan nanti memberi keadilan kepada semua tak kira kawasan kerajaan mahupun pembangkang. Berilah peruntukan yang sama rata kepada semua wakil rakyat.

“Kerajaan negeri juga perlu memberikan perhatian kepada masalah banjir yang sedang berlaku di negeri ini. Kita mahu peruntukan yang sewajarnya diberikan dalam mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Bajet Negeri Perak 2023 dijadual akan dibentangkan pada minggu hadapan selepas pembukaan Sidang DUN Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 19 Disember.