Kekalkan BN menang tanpa bertanding – Umno Perak
UMNO Perak mahu semua pihak berlapang dada dan memberi laluan kepada parti itu untuk menang tanpa bertanding di Parlimen Gerik susulan kematian penyandangnya, Isnin lepas.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia satu langkah paling baik dan mulia dapat dilakukan parti politik pada ketika negara kembali berdepan dengan penularan koronavirus (Covid-19).
Tambahan pula katanya, pertandingan antara parti di kerusi itu nanti tidak akan mengubah kedudukan kerajaan sedia ada pada hari ini.
“Tidak ada salah adakan pilihan raya kecil (PRK), cuma harapan saya apalah salah kiranya kita kekalkan kepada calon Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding.
“Sebagai calon tunggal maka tidak perlu untuk kita bertungkus lumus turun padang, berkempen jumpa orang ramai yang mana kita tahu salah satu punca tersebarnya Covid-19.
“Kalau dapat diterima maka pakailah, apalah makna sebuah negara demokrasi kalau kita semua dapat musibah daripada wabak ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau meluahkan keyakinan rakan komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyokong serta merestui calon daripada BN untuk mengisi kekosongan kerusi terbabit.
Menurutnya, sepertimana ditunjukkan dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim sebelum ini, tiga parti induk itu saling bersetuju memberi keutamaan kepada parti di kerusi tradisi untuk bertanding.
“Kalau ambil kira apa yang berlaku sebelum ini, saya yakin di Gerik pun sama kerana kerusi itu adalah tradisinya milik UMNO.
“Pihak pembangkang pula sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) adalah lebih mulia tidak bertanding,” katanya.
Sumber: Sinar Harian