Kejutan manis buat ibu, Zizan Razak hadiahkan kereta Mercedes Benz GLC300

Kejutan manis buat ibu, Zizan Razak hadiahkan kereta Mercedes Benz GLC300

 

Selebriti terkenal, Zizan Razak tampil memberi kejutan manis dengan menghadiahkan kereta mewah Mercedes Benz GLC300 kepada ibu tercinta, Anai Ibrahim.

Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh abang pelakon, pelawak, penyanyi dan pengacara terkenal berkenaan, Hafiza Razak menerusi TikToknya.

Menurut Hafiza, mereka berdua mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan kejutan berkenaan menjadi lebih bermakna.

Apabila tiba di pusat pameran kereta terbabit, mereka berlakon dengan berpura-pura sekadar meninjau kereta-kereta yang ada di situ sementara menunggu waktu berbuka.

“Kami datang ke sini konon-konon bosan sementara menunggu waktu berbuka puasa. Sambil itu buat-buat tengok kereta dan berkenalan dengan jurujual,” ujar abangnya.

Menurut Hafiza, jurual tersebut sebenarnya turut terlibat dalam ‘lakonan’ berkenaan. Wanita itu berpura-pura dengan bertanya sama ada mereka berminat dengan kenderaan dipamerkan disana.

Seterusnya, dia membawa mereka untuk melihat GLC300 yang berada dalam keadaan tertutup dengan kain.

Tiba-tiba, jurujual berkenaan bertindak meminta ibu Zizan untuk membaca satu frasa yang tertera pada skrin. Sebaik sahaja membaca ayat berkenaan, si ibu ternyata merasa amat terkejut apabila mendapat tahu kenderaan tersebut dibeli untuknya.

Malah, ibu Zizan juga dirakam menitiskan air mata sebelum menghampiri pelakon berkenaan dan memeluknya.

Dalam pada itu, Hafiza turut mengucapkan terima kasih kerana membuat kejutan buat ibu mereka. Dia turut berbangga dengan semua pencapaian yang dikecapi Zizan pada hari ini.

“Masa ini pun sebak lagi, dah berjaya ibu miliki kereta idaman, hadiah daripada Zizan. Alhamdulillah, Along bangga dengan adik sebab banyak tolong kami,” ujar Hafiza.

Meraih perhatian warga maya

Video berdurasi 3 minit 11 saat itu turut meraih perhatian warga maya yang rata-ratanya sebak dan tersentuh dengan budi pekerti ditunjukkan Zizan kepada ibunya.

Sementara itu, ada juga warga maya yang mendoakan Zizan agar segera bertemu jodoh. Pada masa yang sama, seorang lagi warga maya berpendapat Zizan mungkin memilih untuk bujang buat masa ini kerana mahu membahagiakan keluarga terlebih dahulu.

“Zizan bahagiakan keluarga, semoga Allah kurniakan pasangan yang solehah,” komen seorang warga maya.

“Anak yang soleh, untung ibu bapanya. Kami pun sekali menangis, tumpang gembira. Tahniah ibu Zizan,” komen seorang lagi.