Kedai terkenal di Buntong musnah terbakar

Kedai terkenal di Buntong musnah terbakar

 

Sebuah kedai memproses kacang putih yang terkenal di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Sebuah rumah dua tingkat yang terletak bersebelahan kedai tersebut turut rosak selain sebuah motosikal dan van.

Kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 1.08 pagi.

Menurutnya, anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos 200 kaki dan tiga pancutan bersumberkan air pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, operasi pemadaman dibantu anggota dari BBP Meru Raya, BBP Pasir Puteh dan Jentera Tangki Air BBP Simpang Pulai.

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pasir Pinji, PBS Menglembu dan PBS Pekan Baru turut membantu operasi,” katanya.

Menurutnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Khairuddin Hussin tamat pada pukul 4.15 pagi.