Kedai filem penapis haba kenderaan di Perak dakwa diarah tutup

Kedai filem penapis haba kenderaan di Perak dakwa diarah tutup

Pengusaha kedai aksesori filem penapis haba kenderaan di negeri ini mendakwa mereka dianaktirikan apabila diarah tutup operasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan negeri lain membenarkan premis serupa beroperasi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri, perkara itu disampaikan kepadanya oleh pengusaha terbabit.

“Saya akan merujuk masalah ini dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 42 penerima bersempena Tahun Baharu Cina di Tanjung Piandang di sini, hari ini.

Menurut Abdul Yunus, pengusaha terbabit mendakwa perniagaan mereka diarah tutup oleh KPDNHEP negeri atas alasan PKP sedangkan perniagaan itu dikategorikan di bawah industri automotif yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan daerah ini mendapati kaum Tionghoa membuat persiapan secara sederhana bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Pengerusi Tokong Datuk Kong Tanjung Piandang Heng Hee Seng, 56, berkata pihaknya akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan MKN sewaktu melakukan ritual sembahyang pada hari perayaan nanti.

“Kami akan membuat sistem giliran bagi melakukan ritual sembahyang di tokong ini sebagaimana yang ditetapkan oleh MKN,” katanya.

Seorang pengamal media, Lee Huat Lian, 54, berkata kebanyakan ahli keluarganya tidak pulang untuk makan besar pada tahun ini berikutan PKP hingga 18 Feb.

“Anak saya yang bekerja di Singapura sementara adik-beradik di Kuala Lumpur dan Kuantan (Pahang) tidak dapat pulang untuk makan besar yang dianggap penting bagi mengumpulkan ahli keluarga sehari sebelum perayaan. Kami akur,” katanya. – Bernama