Kecoh burger ayam special tepi jalan RM23, Otai Burger buka cerita sebenar

Kecoh burger ayam special tepi jalan RM23, Otai Burger buka cerita sebenar

 

BARU-BARU ini tular mengenai perkongsian seorang wanita yang meluahkan rasa terkejut dan tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan terhadap pesanan dua biji burger yang dibelinya dari sebuah gerai di tepi jalan.

Menerusi perkongsian yang dibuat di Facebook, wanita itu berkata dia mengunjungi sebuah gerai burger berdekatan sebuah bank di Kepong, Kuala Lumpur untuk membeli dua burger ayam special.

Namun dia benar-benar terkejut apabila diberitahu peniaga gerai berkenaan bahawa harga burger pesanannya adalah RM23.

BURGER 2

Harga bagi sebiji burger ayam special adalah RM 11.50.

Perkongsiannya menjadi tular di media sosial dan menimbulkan reaksi yang pelbagai daripada warga maya, dengan rata-ratanya turut mempertikaikan harga burger berkenaan.

Terdapat juga segelintir warga maya yang berkongsi pengalaman masing-masing ketika membeli burger dari gerai rangkaian jenama burger popular itu.

Tidak mahu terus membiarkan orang ramai memberikan persepsi negatif, Ketua Jabatan Latihan dan Pemasaran, Otai Burger Malaysia, Muhammad Syamrie Anuar tampil mendedahkan kisah sebenar.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Syamrie mengakui pelanggan wanita berkenaan ada mengunjungi sebuah gerai francais Otai Burger di Kepong dan membuat pesanan dua biji burger ayam special yang berharga RM23, beberapa hari lalu.

Bagaimanapun menurut Muhammad Syamrie, harga yang dikenakan adalah bersesuaian dengan menu yang dipesan wanita berkenaan.

BURGER 1

Burger ayam special mengandungi dua keping patty ayam, telur, keju dan empat jenis sayur-sayuran.

“Kita dah check dengan staf yang jaga gerai. Order pelanggan wanita tersebut adalah burger ayam special.

“Pelanggan itu juga ada add-on sebiji telur. Maknanya dalam kedua-dua biji burger itu ada telur. Setiap biji untuk order itu, harganya RM11.50, bila kali dua (biji) maknanya RM23.

“Dalam menu burger ayam special dia, ia ada dua patty ayam, sebiji telur, sekeping cheese dan empat jenis sayur iaitu timun, bawang, tomato dan salad dan berharga RM11.50 untuk sebiji.

“Staf dah terangkan dekat dia tiga kali fasal ordernya. Gerai kita ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk ada papan menu beserta senarai harga,” katanya.

Muhammad Syamrie berkata, pelanggan wanita berkenaan bukanlah pembeli kali pertama di gerai tersebut.

“Dia datang terus buat pesanan, boleh dikatakan dia regular customer. Maknanya dia pesan dalam keadaan dia tahu harga. Dekat menu pun ada, patutnya dia tahu. Tapi saya tak pasti ini sabotaj atau macam mana,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pelanggan tersebut wajar menyalurkan sebarang aduan kepada pihak Otai Burger terlebih dahulu, bukannya mengambil pendekatan mudah dengan menularkan di media sosial.

“Kita ada talian aduan untuk apa-apa kes. Setiap aduan, contohnya kalau berlaku kerosakan burger, kita ganti burger baru atau pulangkan semula wang pelanggan.

“Bila diviralkan, seolah-olah macam nak sabotaj. Sekurang-kurangnya buat aduan kepada kami dulu, tapi saya dah check memang tak ada pun aduan yang dibuat berhubung kes tersebut,” ujarnya.

KOMEN BURGER

Segelintir netizen menasihatkan agar pelanggan bertanya harga menu terlebih dahulu sebelum membuat pesanan.

Disebabkan perkongsian wanita tersebut, Muhammad Syamrie berkata jenama Otai Burger tercalar lebih-lebih lagi apabila warga maya berpotensi untuk terpengaruh gara-gara tidak mendapat informasi yang tepat dan cerita sebenar daripada kedua-dua pihak.

“Jenama Otai Burger ini sudah puluhan tahun. Satu perkara yang perlu diketahui, jenama ini banyak membantu mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang di luar sana khususnya anak muda untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

“Daripada status peniaga kecil, kita build up menjadi usahawan yang mana mereka ini terdiri daripada golongan Bumiputera. Kita gilap mereka daripada zero to hero. Kita ambil anak muda yang tiada kerja, yang baru graduate dan create dia menjadi usahawan,” katanya lagi.

Terdahulu, perkongsian wanita tersebut di Facebook meraih sehingga 1,200 shares selain dibanjiri hampir 1,000 komen netizen.