Kecewa bekas teman wanita temui pengganti, lelaki nekad bakar diri sendiri

Kecewa bekas teman wanita temui pengganti, lelaki nekad bakar diri sendiri

 

PESAKIT psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah (HTF), sanggup membakar dirinya sendiri kerana kecewa ditinggal kekasih.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam Rabu, mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan membakar dirinya di atas Jambatan Jalan Kampung Syed Omar Bintong, Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, keluarganya telah tampil memberikan keterangan dan menjelaskan mangsa merupakan seorang pesakit psikiatri dan pernah beberapa kali cuba membunuh diri.

“Kejadian pertama pada Januari lalu di mana mangsa pernah mengelar kedua-dua belah tangan namun berjaya diselamatkan oleh keluarganya.

“Bapanya juga ada memberitahu mangsa juga cuba memakan racun tikus semasa berada di dalam tandas rumahnya pada Selasa lalu dan semua tindakan itu disebabkan rasa kecewa terhadap bekas kekasihnya,” ujarnya pada pagi Khamis.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian cuba menenangkan mangsa.

Mengulas tentang kejadian membakar diri, jelas Wari, sebelum kejadian tersebut, bapa mangsa memaklumkan lebih kurang 8.45 malam ketika berada di rumah, mangsa memberitahu telah terminum petrol.

“Kemudian mangsa keluar daripada rumah membawa satu botol berisi petrol yang diambil daripada motosikalnya dan menaiki kereta jenis Perodua Axia. Mangsa memaklumkan ingin pergi ke kaki bukit untuk memesin rumput rumah datuknya.

“Berasa curiga, dia terus ke balai polis untuk membuat laporan kerana percaya mangsa cuba membunuh diri. Apabila sampai di Balai Polis Kangar, polis memaklumkan telah menjumpai sebuah kereta dalam keadaan terbakar dan kenderaan itu disahkan bapa mangsa semasa tiba di tempat kejadian,” ujarnya.

Kereta yang digunakan mangsa terbakar.

Tambah beliau, mangsa dirawat di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF kerana mengalami lecur pada badan sebanyak 96 peratus.

“Mangsa masih berada di kawasan merah dan dilaporkan dalam keadaan kritikal. Dia sedang menerima bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam kejadian itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian telah menenangkan dan menyelamatkan mangsa dengan menghubungi ambulans sebelum lelaki itu dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF untuk mendapatkan rawatan.