Kecewa anak-anak tak pernah jenguk ketika sakit, warga emas ubah wasiat, serah harta bernilai RM13 juta kepada haiwan peliharaan

Kecewa anak-anak tak pernah jenguk ketika sakit, warga emas ubah wasiat, serah harta bernilai RM13 juta kepada haiwan peliharaan

 

Mesti anda dah biasa dengar kata-kata, seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, namun 10 orang anak belum tentu mampu untuk menjaga seorang ibu.

Itulah yang boleh digambarkan dengan situasi seorang wanita warga emas ini yang memutuskan untuk mewasiatkan hartanya yang bernilai 20 juta Yuan (lebih 13 juta jika ditukar ke dalam Ringgit Malaysia) kepada haiwan-haiwan peliharaannya iaitu kucing-kucing dan anjingnya.

Memetik laporan South China Morning Post, dia memutuskan untuk memberi harta-harta miliknya itu kepada haiwan-haiwan peliharaan tersebut kerana kecewa anak-anak tidak pernah datang menjenguknya ketika dia sakit.

Difahamkan, sebelum ini, warga emas dari Shanghai yang dikenali sebagai Liu itu ada meletakkan nama anak-anaknya dalam wasiatnya pada tiga tahun lalu.

Namun, dia memutuskan untuk mengubah fikirannya itu kerana kecewa dengan tindakan anak-anaknya yang bukan sahaja tak datang melawatnya, malah mereka juga jarang menghubunginya.

Oleh kerana itu, wanita terbabit memutuskan mahu menyerahkan hartanya itu kepada kucing dan anjingnya yang setia menemaninya setiap hari.

Difahamkan, wanita itu akan menyerahkan wang itu kepada sebuah klinik haiwan yang akan bertanggungjawab menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaannya itu apabila dia tiada nanti.

Walau bagaimanapun, menurut pegawai di pejabat pendaftaran wasiat di Beijing, penyerahan harta kepada haiwan peliharaan adalah tidak sah di sisi undang-undang negara itu.

Namun, dalam masa yang sama ada alternatif kepada isu tersebut kerana pihak mereka akan menasihati wanita itu untuk melantik orang yang dipercayainya untuk menyelia klinik haiwan terbabit agar harta-harta itu memang digunakan untuk haiwan-haiwan peliharaannya.

Pihak yang sama juga ada memberitahu wanita warga emas itu bahawa dia boleh menukar semula wasiat itu jika sikap anak-anaknya berubah menjadi lebih baik.