Keadilan Islam tidak beri keistimewaan, pengecualian kepada pesalah – Agong

Keadilan Islam tidak beri keistimewaan, pengecualian kepada pesalah – Agong

 

Keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan, sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah ketegasan prinsip keadilan Islam juga tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa termasuk kepada mereka yang tidak disenangi, selain keadilan tanpa pilih kasih yang diamalkan telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W.

“Prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan,” titah Seri Paduka semasa berucap merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di sini hari ini.

Berpandukan atas prinsip yang sama, Al-Sultan Abdullah bertitah Mahkamah Syariah mestilah bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman, terutamanya yang melibatkan kes-kes kekeluargaan.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang telah ternoda dan akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di ‘hari kemudian’

Selain itu, Seri Paduka juga mengingatkan hakim Syarie untuk memastikan kes yang dikendalikan mereka dapat dihakimi seadil-adilnya dan penghakiman dilaksanakan dengan segera, selain pegawai mahkamah serta peguam Syarie turut sama membantu melancarkan prosiding mahkamah.

Menurut Bernama, pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan memasyhurkan kompleks bernilai RM44.75 juta yang mula dibina pada 22 Jun 2015, siap pada 23 Sept 2021 dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad, barisan pentadbiran Pahang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Md Yunos.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya cadangan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan jenayah) dapat dilaksanakan di negara ini.

“Saya juga ingin meminta hakim-hakim Syarie untuk mendalami dan mengkaji hukuman berbentuk servis kemasyarakatan yang boleh diambil kira kerana ada kesalahan yang tidak begitu besar, harus difikirkan agar mereka boleh berbakti kepada masyarakat… yang boleh diselesaikan dengan budi bicara,” titah Seri Paduka.

Menyentuh mengenai pembinaan komplek mahkamah itu, Al-Sultan Abdullah berharap ia dapat memberikan perkhidmatan terhadap masyarakat selain menyampaikan serta mengembangkan syiar Islam dan mempertingkatkan institusi mahkamah syariah negara ini.