Keadaan banjir di 3 negeri semakin pulih

Keadaan banjir di 3 negeri semakin pulih

 

Keadaan banjir di Melaka, Selangor dan Perak semakin pulih, dengan jumlah mangsa serta pusat pemindahan sementara (PPS) kian berkurangan, setakat ini.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun kepada 550 orang membabitkan 145 keluarga, hingga jam 8 pagi tadi, berbanding 849 (215 keluarga) pada jam 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra, berkata tiga PPS di Melaka Tengah ditutup jam 9 malam tadi, membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam 2, SK Taman Merdeka dan SK Krubong.

Beliau berkata, seramai 260 mangsa (59 keluarga) di Melaka Tengah ditempatkan di tiga PPS, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

“Di Alor Gajah, seramai 92 mangsa (30 keluarga) ditempatkan di tiga PPS meliputi SK Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang.

“Seramai 198 mangsa (56 keluarga) di Jasin pula ditempatkan di tiga PPS, iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Di Selangor, Portal Bencana bawah Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan setakat jam 8.14 pagi tadi, enam PPS di Sepang masih dibuka yang menempatkan 219 mangsa banjir (54 keluarga).

PPS terbabit ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato Ahmad Razali yang membabitkan 60 mangsa banjir; SRA Kampung Giching (56); SRA Kampung Labu Lanjut (51); SRA Dengkil (44); Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Labu Lanjut (tujuh) dan Balai MPKK Kampung Giching (seorang).

Di Perak, 18 mangsa banjir (enam keluarga) dari dua kampung ditempatkan di dua PPS selepas tempat tinggal mereka dinaiki air pada Rabu lalu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, mereka terdiri daripada lapan lelaki dan 10 perempuan dari Kampung Sungai Temelok, Trong, Taiping, dan Kampung Sungai Rentaka, Matang, yang ditempatkan di PPS SK Temelok serta SK Matang.