KBS diterajui Peja, Reezal Merican mengaku belum ‘move on’

KBS diterajui Peja, Reezal Merican mengaku belum ‘move on’

 

Bantuan Skim Hadiah Kemenangan kepada atlet paralimpik lontar peluru negara Ziyad Zolkefli wajar dipertimbangkan walaupun kemenangan pingat emas beliau dibatalkan di temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata lontaran Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia yang dipegang beliau sendiri ketika di Rio, dan pencapaian itu wajar dirai.

“Secara prinsip dan peribadi, saya rasakan wajar (elaun kemenangan). Saya rasa itu satu pencapaian, kita perlu raikan pencapaian itu dan ada kewajaran untuk dipertimbangkan kerajaan (memberikan) bantuan skim hadiah kemenangan (kepada Ziyad). Saya fikir amat wajar untuk diberi,” katanya pada sidang media pertama selepas dilantik mengemudi kementeriannya.

Beliau turut mengakui masih kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Olahraga Para Dunia semalam yang menolak rayuan atlet negara itu untuk membatalkan keputusan final lontar peluru F20.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Ziyad terlepas pingat emas acara berkenaan dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

“Saya masih kecewa dengan keputusan yang dibuat (jawatankuasa) dengan menafikannya. Walau apa pun alasan, dia dibenarkan untuk melontar dan dia melontar, lontaran yang dibuat itu secara rasmi direkod sebagai pecah rekod dunia bukan dia tak lontar dan tiada masalah teknikal mengenainya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Reezal turut mendedahkan masih sukar melupakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dinaunginya lebih satu tahun setengah ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, pertukaran portfolio itu dianggap sebagai cabaran dan penghormatan kepadanya untuk menerajui kementerian yang begitu penting, dengan sebahagian besar berkait rapat dengan rakyat.

“Ia peralihan yang cukup besar bagi saya daripada KBS, bukan mudah selepas satu tahun setengah di KBS, sampai sekarang pun saya tak ‘move on’ lagi.

“Kalau dalam media sosial pun banyak pasal KBS, jiwa dan perasaan saya masih terkait dengan mereka yang masih bertarung di bumi Tokyo. Namun apa pun ini penghormatan bagi saya diberi peluang menerajui kementerian penting yang saya anggap mempunyai cakupan yang cukup luas dan dinamik, serta sangat rapat dengan rakyat,” katanya.

Sumber: FMT