Kawasan rekreasi, taman awam di Ipoh ditutup

Kawasan rekreasi, taman awam di Ipoh ditutup

SEMUA kawasan rekreasi dan taman awam di bandar raya Ipoh ditutup dan tiada sebarang aktiviti sukan atau riadah dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula hari ini hingga 14 Jun ini.

Kawasan tersebut ialah Taman D. R Seenivasagam, Padang Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), Padang Ipoh, Gunung Lang dan Pavilion Petting Zoo@Gunung Lang.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan larangan itu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, turut ditutup ialah Perpustakaan Tun Razak, dewan orang ramai dan komuniti kendalian MBI serta kaunter bayaran dan perkhidmatan MBI.

“Sepanjang tempoh ini kita juga tidak membenarkan sebarang aktiviti kebudayaan dan pelancongan termasuk busking, galeri seni, taman tema dan pusat hiburan keluarga.

“Aktiviti ekonomi yang ditutup adalah operasi Gerbang Malam dan Memory Lane (pasar pagi Looking) termasuk pasar pagi, pasar tani dan pasar malam,” ujar kenyataan itu.

Bagaimanapun, aktiviti riadah seperti joging dan berbasikal hanya boleh dilakukan di kawasan kejiranan sahaja dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan.

Begitu juga pasar awam yang dibenarkan beroperasi kecuali gerai di luar kawasan pasar bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.

Sumber: Malaysiapost