“Kawan ma suruh ambil adik, ma dah tiada” – Anak Nor Rahiza

“Kawan ma suruh ambil adik, ma dah tiada” – Anak Nor Rahiza

 

Menggeletar dan menahan sebak, itu keadaan yang diceritakan oleh seorang guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Hijrah, Teluk Muroh ketika anak sulung anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bintara Muda Nor Rahiza Anuar, 39, mengambil adik bongsunya untuk dibawa pulang.

Menurut laporan Sinar Harian, guru yang mahu dikenali sebagai Ila itu tidak menyangka Nor Rahiza antara mangsa nahas helikopter yang terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut.

Anak Nor Rahiza

Ila berkata dia terkejut apabila melihat kedatangan anak sulung Nor Rahiza sekitar jam 10.20 pagi dalam keadaan menggetar hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan guru.

Mana tidaknya, dia tidak menerima sebarang panggilan daripada ibu bapa remaja itu untuk mengambil Nur Qistina Afia yang berusia enam tahun.

“Sekitar jam 10.30 pagi itu, kakaknya datang mengejut kata nak ambil Nur Qistina Afiya. Sempat kami tanya kenapa berikutan keadaan dia menggeletar dan menahan sebak.

“Dia beritahu ‘kawan ma (ibu) suruh ambil adik, mereka beritahu ma dah tiada’ kami terkejut. Kami tertanya-tanya juga apa maksudnya dan mahu hubungi ibunya (Nor Rahiza), tapi belum sempat hubungi, kami terbaca berita kejadian helikopter,” katanya.

Anak Nor Rahiza

Ujarnya lagi, semalam adalah kali terakhir dia melihat Nor Rahiza ketika menghantar anaknya ke pusat asuhan tersebut.

“Semalam saya nampak maknya ketika hantar anak bongsu. Apabila tahu kejadian ini, kami terkejut dan masih terbayang senyuman mak dia datang ambil anak.

“Selain ibu, Nur Qistina Afiya ada dua kakak dan seorang abang yang bergilir-gilir hantar atau ambil dia di sini,” ujarnya lagi.