“Kau nak keluar, kau berambus” – Warga emas kongsi detik cemas Honda City dilarikan lelaki botak di stesen minyak

“Kau nak keluar, kau berambus” – Warga emas kongsi detik cemas Honda City dilarikan lelaki botak di stesen minyak

 

“Dia pegang bahu makcik sebaik masuk ke dalam kereta dan suruh diam,” kata warga emas, Napisah Muhammad, 68, selepas seorang lelaki melarikan Honda City di stesen minyak di Semambu, di sini, semalam.

Ketika kejadian, warga emas berkenaan berada di tempat duduk penumpang hadapan tidak sempat untuk keluar daripada kenderaan itu.

“Makcik meronta dan nekad untuk terjun tetapi bahu dipegang dan lelaki itu tarik untuk pastikan makcik tidak keluar.

“Namun, lelaki itu cakap kau nak keluar, kau berambus dan perlahankan kereta sebelum menolak makcik keluar dari kereta,” katanya.

Napisah berkata, dia tidak berasa trauma dalam kejadian itu tetapi terkejut kerana berlaku terlalu pantas.

Katanya, dia bersyukur kerana selamat dan tidak mengalami kecederaan disebabkan kejadian itu.

“Dalam kes ini, makcik nasihatkan supaya mereka yang berada di dalam kenderaan supaya mengunci pintu demi keselamatan,” katanya.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, warga emas bersama suami dan anak perempuan yang menaiki kereta singgah di stesen minyak.

Sebaik anak perempuan keluar dari kereta, suspek masuk dan melarikan kenderaan itu ketika warga emas itu berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Mangsa ditinggalkan kira-kira 400 meter dari stesen minyak itu tanpa kecederaan manakala lelaki terbabit terus melarikan kereta berkenaan

Berikutan itu, usaha giat dilakukan polis untuk mengesan suspek.