Kapal tangki Jerman ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Kapal tangki Jerman ditahan berlabuh tanpa kebenaran

 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Jerman di perairan Pulau Jarak di sini, kelmarin kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata kapal tangki sepanjang 171.20 meter ditahan di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada 11.15 pagi.

Menurutnya, kapal dikendalikan seorang nakhoda dengan 18 kru terdiri daripada warga Russia, Ukraine, Romania dan Filipina berusia 28 hingga 63 tahun dikesan berlabuh secara haram melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

“Kapal tangki berkenaan dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) di bawah Seksyen 491B(1)(I).

“Semua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Shahrizan berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 6.2 batu nautika timur Pulau Jarak kerana menceroboh zon tangkapan ikan selepas didapati menangkap ikan kurang 12 batu nautika daripada daratan pada 5.40 petang, hari sama.

“Bot dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama dua kru warga Thailand dan Laos itu berusia antara 36 hingga 51 tahun ditahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata, komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.