Kantoi merokok, lelaki beri alasan ‘sakit mental’
Seorang lelaki sanggup memberi alasan sakit mental ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) setelah didapati merokok di sebuah kedai makan milik peniaga bukan Islam dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, lelaki beragama Islam berusia 46 tahun itu bertindak melemparkan puntung rokok sebelum cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran penguat kuasa agama.
Turut dicekup kerana melakukan kesalahan sama semasa operasi itu ialah seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JHEAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, cubaan lelaki berasal dari Ayer Hitam itu untuk melarikan diri gagal apabila berjaya ditahan penguat kuasa JHEAIK dan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu.
“Lelaki itu dilihat melemparkan puntung rokok dan cuba lari tetapi berjaya ditahan sebelum memberi alasan dia sedang mendapatkan rawatan di hospital kerana sakit mental,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, tindakan lelaki itu yang melemparkan puntung rokok dan cuba lari daripada ditahan adalah mencurigakan.
“Kita keluarkan notis supaya dia hadir ke Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu dan sekiranya dia mempunyai surat pengesahan hospital berkaitan penyakit itu, pertimbangan akan dilakukan,” ujarnya. – Kosmo