Kanak-kanak OKU ditemukan lemas di Sungai Perak

Kanak-kanak OKU ditemukan lemas di Sungai Perak

 

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran Sayong Tebing di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi, mangsa, Ahmad Fakhruddin Ahmad Farid yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemukan tersangkut celah rumput di tebing sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mayat mangsa ditemui selepas sejam pada jarak kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

“Mangsa dijumpai di dalam sungai tersangkut di celahan rumput oleh orang kampung.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan tiada menunjukkan sebarang kesan kecederaan fizikal sebelum pegawai perubatan mengesahkan kematiannya,” katanya di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan lemas.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.