Kanak-kanak maut tercampak dari cermin kereta

Kanak-kanak maut tercampak dari cermin kereta

 

Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala adik bongsunya parah selepas kereta dipandu bapa mereka terbabit dalam nahas di Kilometer 340.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, N Ashvika, 11, yang duduk di bahagian penumpang belakang, dipercayai tercampak melalui cermin belakang dan cedera parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Adik perempuan bongsunya yang berusia enam tahun, N Yaashika, yang turut duduk di bahagian penumpang belakang, patah kaki dan tangan kiri akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati keluarga lima beranak itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor.

Katanya, kereta dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dan dinaiki isterinya yang berumur 37 tahun bersama tiga anak perempuan mereka berusia enam, 10 dan 11 tahun.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, kereta jenis Nissan Almera itu dipercayai gagal dikawal lalu terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

“Akibat nahas itu, seorang mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang tercampak keluar menerusi cermin belakang.

“Mangsa yang juga anak sulung pasangan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, anak kedua pasangan itu tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pemandu yang beralamat di Ayer Hitam, Pulau Pinang bersama isterinya adalah kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat selepas menjalani ujian COVID-19.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.