Kanak-kanak lelaki maut disengat obor-obor di Pantai Teluk Nipah

Kanak-kanak lelaki maut disengat obor-obor di Pantai Teluk Nipah

 

Seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis maut akibat terkena sengatan obor-obor ketika mandi di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, kanak-kanak berusia lima tahun itu dan keluarganya pergi ke pantai tersebut untuk mandi setelah mendaftar di sebuah hotel di pulau peranginan itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kira-kira 30 minit kemudian kanak-kanak tersebut tiba-tiba menjerit kesakitan.

“Orang awam yang ada berhampiran dengan kanak-kanak itu datang dan membawa mangsa ke tepi pantai dan mendapati dia telah terkena sengatan obor-obor.

“Semasa mangsa dibawa naik ke darat, keadaannya mula tidak sedarkan diri dan keluarga mangsa telah membawa dia ke Klinik Kesihatan Pangkor,” katanya, memetik Utusan.

Menurut beliau, kanak-kanak itu kemudian disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Wad Kecemasan Klinik Kesihatan Pangkor.

Berikutan itu, petugas klinik kesihatan tersebut melaporkan kejadian itu kepada anggota di Balai Polis Pangkor pada pukul 7.28 malam.

“Sejurus selepas menerima laporan tersebut, Timbalan Ketua Polis Balai Pangkor bersama anggotanya hadir di Wad Kecemasan Klinik Kesihatan Pangkor untuk menjalankan siasatan. Setelah membuat pemeriksaan pada bahagian badan simati terdapat kesan dipercayai sengatan obor-obor pada bahagian perut, tangan kiri dan kaki kiri mangsa,” jelas beliau.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung pada malam sama untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau menjelaskan hasil daripada bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian si mati adalah ‘jellyfish envenomation‘ atau sengatan obor-obor.

Justeru, tiada sebarang unsur-unsur jenayah terhadap kematian itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.